Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang diketuai ikon terkemuka pembangkang, Aung San Suu Kyi dijangka memenangi pilihan raya tersebut yang menyaksikan kira-kira 30 juta pengundi menunaikan tanggungjawab mereka memilih 6,065 calon yang bertanding dalam kerusi Parlimen dan kawasan.

Keputusan menyeluruh pilihan raya itu hanya diketahui awal pagi esok, tetapi Suu Kyi masih berdepan cabaran besar untuk dipilih sebagai Presiden walaupun Parti NLD mencatat kemenangan besar susulan kebimbangan pengundi terhadap reaksi pemimpin tentera jika situasi tersebut berlaku.

Malah, wujud kebimbangan terhadap ketelusan pilihan raya berkenaan selepas khabar angin menyatakan kira-kira empat juta pengundi yang layak tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam proses pengundian.

Selain itu, Parti NLD mendakwa, sejumlah besar kad pengundian tambahan telah diletakkan di beberapa kawasan termasuk kes sebuah keluarga yang mendapat 38 helai kertas undian.

Aksi Suu Kyi membuang undi di pusat pengundian di Yangon menjadi tumpuan media dan orang ramai yang mahu pemerintahan tentera ditamatkan bagi membuka laluan kepada pentadbiran berasaskan demokrasi.

Seorang daripada pengundi, Khin May Oo, 73, percaya pilihan raya kali ini bakal menyaksikan perubahan besar kepada pentadbiran negara.

“Namun, saya bimbang dengan pihak tentera sama ada mereka boleh menerima keputusan pilihan raya jika mereka kalah,” katanya.

Walaupun NLD mencapai kemenangan, pihak tentera masih mempunyai kuasa yang kuat dalam kerajaan selepas Perlembagaan yang digubal di bawah kepimpinan Presiden, Thein Sein membenarkan beberapa kementerian penting dipegang oleh tentera.

Tentera juga boleh mengambil alih kerajaan di bawah keadaan tertentu selain menguasai agenda ekonomi dengan memegang beberapa syarikat utama kerajaan.

Keputusan pilihan raya kali ini juga dijangka menentukan nasib golongan etnik minoriti terutama­nya Rohingya yang dinafikan hak sebagai rakyat Myanmar untuk me­ngundi dan perubahan dasar yang bakal dilaksanakan Suu Kyi jika beliau menang. – REUTERS