Menteri Pertahanannya, Jean-Yves Le Drian dalam kenyataannya berkata, kapal pengangkut pesawat Charles de Gaullle telah mengambil kedudukan di laut itu dengan membawa sejumlah pesawat penggempur untuk dikerah menyerang kedudukan kumpulan militan IS di Syria.

“Operasi menggempur kedudukan militan IS akan bermula esok,” kata beliau, tanpa mengulas lanjut jumlah pesawat yang terlibat dalam serangan itu atau lokasi yang disasarkan.

Kapal Charles de Gaullle yang mempunyai keupayaan membawa 28 sehingga 40 buah pesawat pengebom dan tempur, menyertai misi memerangi militan IS, selepas Presiden Francois Hollande berikrar memusnahkan kumpulan pengganas tersebut susulan serangan berdarah di Paris.

Sebelum ini, Perancis menggunakan pangkalan udara di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan untuk menggempur kedudukan militan IS dan usaha terbabit ditingkatkan, tetapi Hollande menggandakan usaha tersebut apabila menggerakkan aset tentera paling berharga dengan mengarahkan kapal pengangkut pesawat Charles de Gaullle ke posisi menyerang.

Kapal pengangkut pesawat itu tiba di Meditteranean, sehari selepas Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang dikemukakan Paris untuk membenarkan mana-mana negara mengambil tindakan sewajarnya bagi memerangi militan IS.

Sementara itu, Le Drian memberi amaran, sekiranya pihak bertelagah di Libya gagal mencapai persetujuan untuk membentuk kerajaan perpaduan yang baharu, kumpulan militan IS akan mengambil kesempatan untuk melebarkan pengaruh mereka di negara tersebut.

“Kedua-dua pihak yang bertelagah di Libya perlu mencapai kata sepakat atau kumpulan militan IS akan menang,” katanya. – AFP