Taufan Kategori 4 yang membadai Florida kira-kira pukul 2.00 pagi waktu tempatan, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang timbalan sherif terbunuh dan beberapa kawasan diletakkan dalam perintah berkurung.

Lebih daripada empat juta penduduk dilaporkan terpaksa bergelap sejak malam tadi apabila salah satu daripada dua reaktor nuklear di loji tenaga Turkey Point terpaksa ditutup ekoran banjir besar dan angin kencang mencecah 209 kilometer sejam.

Setakat ini, jumlah korban dan kerugian masih belum dapat dipastikan.

Anggota Pentadbir Daerah, Roman Gastesi berkata, pasukan keselamatan telah memulakan pencarian dari rumah ke rumah sejak awal pagi ini dan misi bantuan udara yang diketuai oleh pesawat kargo C-130 dikerah untuk membawa bekalan kecemasan kepada penduduk yang masih terperangkap.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan, paras air turut me­ningkat setinggi dua meter hanya dalam tempoh 90 minit di kawasan bandar percutian pesisir pantai Tampa dan Naples.

Pusat bandar Miami dan Fort Lauderdale turut terjejas teruk apabila tiga buah kren pembinaan runtuh akibat hujan lebat dan angin kencang namun tiada kece­deraan dilaporkan.

Seorang wanita Miami juga dilaporkan terpaksa melahirkan bayinya dengan hanya dibantu menerusi telefon ketika pihak berkuasa berusaha menjejaki kawasan perumahan mangsa yang ditenggelami air sebelum di­selamatkan pasukan bomba.

“Saya amat gusar dengan penduduk yang tidak mempercayai gelombang besar bencana yang dibawa oleh taufan ini. Ada yang masih tidak mendengar arahan untuk berpindah,” kata seorang mangsa, Virginia Defreeuw, 76 yang berpindah ke kawasan perlindungan di Naples.

Taufan Irma dijangka berge­rak pada kekuatan lebih lemah menghala ke Georgia, Alabama, Mississippi, Tennessee dan amaran ribut tropika telah dikeluarkan buat kali pertama di Atlanta.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan telah meluluskan permohonan dana kecemasan bagi membiayai program pembangunan semula Flo­rida.

Bantuan persekutuan itu termasuk geran pembinaan perumahan sementara, pembaikan semula rumah dan pinjaman khas bagi barang yang tidak diinsuranskan. – AFP