Laman web Jakarta Post melaporkan, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Lukman Hakim Saifuddin berkata, kerajaan Arab Saudi sedang menyelesaikan proses akhir pembayaran pampasan kepada warga Indonesia.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke negara itu baru-baru ini untuk membincangkan mengenai isu-isu ibadah haji.

Katanya, pembayaran pampasan diuruskan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Arab Saudi namun setakat ini tarikh sebenar pengagihan itu belum diumumkan.

“Ia mengambil masa. Kami hanya berharap proses pembayaran akan dijalankan tidak lama lagi.

“Kami sedang menunggu kenyataan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi mengenai perkara-perkara ini,” kata Lukman kepada wartawan semalam.

Lukman berkata, kerajaan Arab Saudi juga masih belum mendedahkan jumlah sebenar pampasan dan tawaran yang akan diagihkan kepada pihak berkuasa Indonesia.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi membuat kenyataan akan menyediakan pampasan sebanyak 1 juta riyal (RM 1. 12 juta) bagi setiap mangsa yang meninggal dunia atau hilang keupayaan kekal dan 500,000 riyal (RM 562,000) kepada mangsa yang cedera.

Dalam pada itu, Lukman berkata, kerajaan Arab Saudi juga akan memberi peluang kepada dua orang daripada keluarga setiap mangsa sebagai tetamu kehormat negara tersebut untuk melaksanakan ibadah haji pada tahun ini.

Menurut beliau, negara itu juga akan memberikan visa pengunjung khas kepada anggota keluarga mangsa yang masih menjalani rawatan perubatan di Arab Saudi.

Lebih 107 jemaah haji termasuk 11 jemaah haji Indonesia meninggal dunia manakala 42 yang lain cedera dalam kejadian runtuhan kren tersebut.