Muzium yang terletak di Leiden itu mendedahkan pe­nemuan mengejutkan tersebut setelah melakukan kaji­an terperinci selama empat tahun terhadap tengkorak berkenaan yang merupakan satu daripada 20 tengkorak seumpamanya di dunia.

“Tarikh radiometerik me­nunjukkan tengkorak yang dihiasi batu marmar biru itu memang berasal dari abad berkenaan dan tulen, namun siasatan lanjut mendapati gam dari abad ke-20 telah digunakan untuk menampal batu marmar itu,’’ menurut kenyataan muzium berkenaan.

Akhbar harian Denmark, Trouw turut melaporkan, gigi pada tengkorak itu juga adalah palsu berikutan keadaan­nya yang terlalu sempurna bagi bahan purba yang tertanam sejak berabad-abad lamanya.

Muzium berkenaan membeli tengkorak itu dengan harga AS$20,000 (RM88,930) pada 1963 untuk memperlihatkan seni purba Mesoamerika.

Namun siasatan mendapati, pihak muzium telah di­tipu selepas kurator, Martin Berger menerima panggilan telefon daripada ra­kan sejawatnya di Marseille, Perancis pada 2010.

Rakannya itu memaklumkan bahawa mereka turut menerima tengkorak yang serupa daripada seorang pengumpul persendirian yang men­dermakannya kerana meragui ketulenannya.

Berger dan rakannya berkunjung ke makmal di Paris dengan membawa tengkorak dari Muzium Denmark dan setelah dianalisis mendapati tengkorak itu adalah lebih ‘moden’ daripada yang dijangkakan.

Berger memberitahu akh­­bar berkenaan, beliau mengesyaki tengkorak itu dipalsukan oleh seorang doktor gigi dari Mexico sekitar 1940-an dan 1950-an apabila kawasan-kawasan arkeologi telah di­ceroboh secara besar-besaran terutama hasil seni Mixtec bagi memperoleh pendapatan lumayan.

Pendedahan itu bagaima­napun tidak mengecewakan pihak muzium sebaliknya kata Berger telah menghasilkan cerita aneh yang boleh disampaikan kepada pengunjung.

“Tengkorak ini masih kekal sebagai karya agung kami, namun kami telah mengubah maklumat di papan ketera­ngan,’’ ujarnya. – AFP