Portal Oddity Central melaporkan, wanita berusia 37 tahun itu ditahan polis baru-baru ini selepas rancangannya yang mendakwa dia diculik dan dibunuh bekas suaminya terbongkar.

Ibu tunggal yang dikenali sebagai Yu itu dipercayai bertindak sedemikian selepas menge­tahui status kewangan teman lelakinya yang dianggap miskin.

Yu yang bercinta dengan Lin hanya mengetahui bahawa lelaki itu miskin selepas melawat rumahnya pada cuti Tahun Baharu Cina yang lalu.

Tidak tahan dengan keadaan itu, Yu merancang untuk memutuskan hubungan dengan Lin namun bimbang lelaki ber­kenaan akan menolaknya.

Pada 21 Februari lalu selepas pulang daripada berkunjung ke kampung halaman Lin, Yu hilang daripada asrama, tempat mereka tinggal di Taman Perindustrian Huangpi Jiahai sebelum memaklumkan bahawa dia diculik bekas suaminya.

“Datang selamatkan saya. Bekas suami saya menculik saya. Datang segera, saya fikir saya di lebuh raya sekarang,” katanya sebelum memutuskan panggilan telefon tersebut.

Bagi memastikan penculikan itu nampak asli, Yu telah menghantar mesej menyamar sebagai penculik dan memberi amaran jangan melaporkan perkara tersebut kepada polis.

Yu yang menyamar kemudiannya menghantar lebih banyak mesej dan memberitahu Lin bahawa teman wanitanya itu telah dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam tasik.

Terdesak dengan kejadian itu, Lin membuat laporan polis Wuhan dan pihak berkuasa yang memantau rakaman ka­mera pengawasan berjaya mengesan kedudukan Yu di sebuah hotel.

Yu didapati dalam keadaan santai dan sedang menonton televisyen.

Susulan itu, wanita tersebut ditahan selama 10 hari kerana mengganggu norma sosial. –AGENSI