GENEVA 19 Dis. - Palestin menolak sebarang rundingan damai Asia Barat tajaan Amerika Syarikat (AS) dengan mendakwa ia akan ditolak mentah-mentah belum sempat usul itu dibentangkan.
Penegasan Palestin itu dibuat selepas Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley mendakwa terdapat perkara yang disukai dan tidak digemari kedua-dua pihak bertelagah dalam perjanjian berkenaan.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menjelaskan, pelan damai yang dikemukakan oleh AS itu akan ditolak mentah-mentah sebelum sempat ia dibentang.
“Haley enggan mendengar sebarang pendapat sejak dua tahun lalu dan beliau pergi tanpa mendengarnya selain bertegas mahu menggantikan persetujuan secara global dengan sesuatu yang samar, yang kita tidak tahu sama ada akan berjaya atau tidak.
“Beliau silap. Ia tidak akan berjaya. Satu-satunya langkah yang mempunyai peluang untuk berjaya ialah melaksanakan persetujuan secara global,” ujar Riyad.
Al-Jazeera melaporkan, keengganan itu tercetus sejak Disember tahun lalu apabila pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan bangunan kedutaan AS dari Tel Aviv ke wilayah tersebut.
Terdahulu, Haley menyatakan pelan damai Israel-Palestin akan mengambil masa yang lama tanpa mendedahkan maksud Presiden AS, Donald Trump, pelan itu sebagai perjanjian abad ini.
“Ia akan mengambil masa lebih lama. Pelan itu akan merangkumi butiran lebih terperinci.
“Pelan itu mengakui realiti di lapangan Asia Barat telah berubah mengikut kaedah yang kuat dan penting,” kata Haley.
Tambah Haley, dokumen itu mempunyai perkara yang akan disukai dan tidak disukai oleh kedua-dua belah pihak.
Dalam pada itu, lapan anggota Kesatuan Eropah (EU) berdiri di luar kamar UNSC membaca kenyataan bersama yang menekankan komitmen berterusan dan tegas blok terbabit, menuntut perlunya perjanjian secara global terhadap keamanan Palestin-Israel.
“EU benar-benar yakin bahawa, untuk mencapai penyelesaian dua negara mengikut sempadan 1967 dengan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara kedua-dua pihak dan memenuhi keperluan keselamatan Israel-Palestin.
“Penyelesaian itu juga menjadi aspirasi kenegaraan dan kedaulatan Palestin, menamatkan pencerobohan serta menyelesaikan semua isu berbangkit sebagai satu-satunya cara yang realistik bagi menamatkan konflik dan mencapai keamanan berpanja-ngan,” kata EU dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, Liga Arab dalam resolusinya mengecam Australia dan Brazil kerana mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel selain menggesa kedua-dua negara itu mematuhi undang-undang antarabangsa berhubung status wilayah terbabit.
Menurut Press TV, resolusi itu dikemukakan oleh delegasi Liga Arab dalam satu pertemuan di ibu pejabat pertubuhan berkenaan di Kaherah, Mesir.
Liga Arab juga memutuskan untuk menghantar delegasi tertinggi ke Brazil dan Australia untuk memaklumkan berhubung keperluan mematuhi undang-undang terhadap Baitulmuqaddis. - AGENSI