Jalan 4370 yang terletak di timur laut Baitulmuqaddis de­ngan panjang beberapa kilo­meter itu mempunyai laluan dua hala yang dibahagikan dengan tembok dan pagar.

Jurucakap pertubuhan Ir Amim dari Israel yang menentang penempatan haram Yahudi, Aviv Tatarsky berkata, lebuh raya itu mempunyai motif jangka panjang dalam menyediakan laluan alternatif kepada penduduk Israel mengakses Baitulmuqaddis secara langsung.

“Banyak peneroka haram bekerja dekat Baitulmuqaddis tetapi penduduk Palestin dari kawasan utara dan selatan Tebing Barat perlu mengubah laluan yang membuatkan mereka terasing dari bandar itu.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan kawasan perkampungan Palestin lebih mundur,” jelasnya.

Penduduk Palestin dan Israel kerap berkongsi jalan raya di Tebing Barat walaupun ada sebahagiannya dikhaskan untuk penduduk Israel.

Tatarsky menambah, Maale Adumim, sebuah penempatan dengan lebih 40,000 penduduk di timur Baitulmuqaddis boleh menjadi kawasan pinggir bandar seperti tempat lain di Tebing Barat.

Pengarah pentadbiran di maj­lis tempatan Al-Zaim, Mohammed Abu Zaid berkata, beliau bimbang jarak perjalanan dari kampung itu ke bandar bertambah sehingga lapan kilometer jika projek tersebut siap.

Jurucakap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) berkata, menyifatkan Jalan 4370 sebagai jalan apartheid pertama dan bimbang laluan berkenaan akan menjadi perintis kepada lebuh raya lain seumpama itu.

Sementara itu, Menteri Ke­selamatan Awam Israel, Gilad Erdan berkata, pembinaan lebuh raya tersebut merupakan contoh dalam mewujudkan perkongsian kehidupan bersama antara rakyat Israel dan Palestin meskipun berdepan cabaran dalam soal keselamatan. – AFP