Perkara itu disuarakan Pegawai Kanan Palestin, Hanan Ashrawi dalam satu kenyataan sebagai tindak balas terhadap cadangan yang dimuat naik oleh Trump di laman Twitternya awal pagi ini.

“Kami tidak akan diperas ugut. Presiden Trump telah mensabotaj usaha kami mencari perdamaian, kebebasan dan keadilan.

“Sekarang beliau berani pula menyalahkan rakyat Palestin atas segala perbuatannya sendiri yang tidak bertanggungjawab itu!” tegas Hanan.

Trump menerusi akaun Twitternya mengakui proses damai di Asia Barat Timur Tengah semakin sulit dan mempersoalkan mengenai kepentingan bantuan tersebut.

“Kami membayar ratusan juta dolar kepada rakyat Palestin setahun dan tidak mendapat penghargaan atau penghormatan.

“Lagipun, Palestin tidak berminat untuk meneruskan rundingan damai, kenapa kami perlu meneruskan bantuan yang banyak pada masa depan untuk mereka,” tulis Trump di Twitter.

AS telah lama menyalurkan Pihak Berkuasa Palestin dengan sokongan belanjawan serta bantuan keselamatan yang sangat diperlukan, termasuk tambahan AS$304 juta (RM1.22 bilion) untuk program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tebing Barat dan Gaza.Namun hubungan antara pentadbiran Trump dan kerajaan Palestin pimpinan Pre­siden Mahmoud Abbas semakin tegang sejak Trump memutuskan bulan lalu untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan mahu memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke bandar itu.

Malah, pejabat Presiden Pa­lestin juga menghentam ke­nyataan terbaharu Trump dengan mengatakan Baitulmuqaddis ‘bukan untuk dijual beli’.

Semalam, Pakistan turut menerima ugutan serupa apabila Trump menuduh negara itu bermain ‘serampang dua mata’ dalam memerangi pengganas dan bertindak menahan dana bantuan berjumlah AS$255 juta (RM1.26 bi­lion) kepada negara itu. – AFP