Serangan terbaharu pengganas menyasarkan sebuah makam ahli sufi di bandar Sehwan, selatan Pakistan yang menyaksikan berpuluh-puluh orang maut dan puluhan lagi cedera. Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif mengutuk dan menyifatkannya serangan yang kejam serta ancaman besar kepada negara. Untuk itu, Ketua Turus Angkatan Tentera, Jeneral Qamar Javed Bajwa berikrar akan menghapuskan pelampau Daesh dalam apa cara sekalipun.

Bagi mencari jawapan mengenai kekalutan, situasi terkini selain beberapa konflik yang dihadapi Pakistan, wartawan Utusan Malaysia, Irman Hashim mewawancara Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Hassan Raza.

UTUSAN: Boleh tuan ceritakan mengenai Pakistan ketika ini?

SYED HASSAN: Pakistan kini berada dalam fasa transformasi. Kami baru melepasi satu tempoh sukar dan mempunyai sejarah konflik yang panjang termasuk menghadapi ancaman kumpulan pelampau dan pengganas terma­suk al-Qaeda kira-kira lapan tahun lalu. Selepas menumpaskan al-Qaeda yang beroperasi di sana, tahap keselamatan Pakistan berada pada tahap tertinggi.

Bagaimana pula dengan sera­ngan terbaharu yang menyasarkan Pakistan sejak akhir-akhir ini?

Serangan pengganas pada asasnya tidak menyasarkan agama tetapi bertujuan memberi kesan kepada negara terbabit selain menarik perhatian media dan masyarakat antarabangsa. Sera­ngan terbaharu pengganas di sebuah makam ahli Sufi pada bulan lalu itu dilihat sangat signifikan dan simbolik kerana fahaman itu yang berdoktrinkan keamanan berjaya mendamaikan dan mengharmonikan hubungan antara penganut Islam dan Hindu di Pakistan. Serangan itu bukan yang pertama menyasarkan anggota fahaman tersebut.

Apakah tindakan Pakistan bagi memastikan serangan tersebut tidak berulang?

Perang terhadap keganasan bukan perkara baharu di Pakistan. Tahap keselamatan di Pakistan telah ditingkatkan namun sukar untuk mengekang serangan keganasan. Berdasarkan maklumat dan bukti kukuh, serangan pengganas itu mendapat bantuan oleh agensi risikan asing yang membantu dalam meningkatkan, mengukuh­kan dan menyediakan senjata. Bagaimanapun, kerajaan Pakistan akan tetap mempertahankan ke­selamatan rakyatnya dengan me­laksanakan pelbagai langkah ke­selamatan.

Bagaimana pula konflik Pakis­tan dengan India membabitkan wilayah Jammu dan Kashmir yang sehingga kini tiada penyelesaian?

Sejak perpisahan India-Pakistan 70 tahun lalu, konflik Jammu-Kashmir terus menjadi isu berterusan antara kedua-dua negara membabitkan tiga peperangan namun tiada penyelesaian. Islamabad kini berpendapat konflik itu hanya boleh diselesaikan di meja run­dingan. Ini bukan lagi isu kawasan itu jajahan siapa tetapi ditentukan oleh 30 bilion penduduk yang tinggal di wilayah terbabit.

Kami mahu mereka diberikan kebebasan untuk memilih. Jika kerjasama antara Pakistan-India dicapai tanpa berlakunya pelanggaran integriti kawasan jajahan dan kedaulatan serta campur ta­ngan, akan membawa perubahan besar di rantau tersebut. Pakistan mahu hubungan normal dan baik dengan semua negara jirannya.

Bagaimana pula hubungan Pakistan dengan Afghanistan?

Afghanistan dan Pakistan mempunyai jalinan sejarah yang panjang. Masa depan Afghanistan sa­ngat bergantung kepada hubu­ngan baik dengan Pakistan kerana negara itu diperintah oleh pang­lima perang. Keadaan ini adalah berdasarkan fakta sejarah. Ketika ini, anggota puak Pashtun lebih ba­nyak tinggal di Pakistan berban­ding Afghanistan.