Menurut agensi berita BBC, pengharaman itu mendapat kritikan meluas daripada operator kabel televisyen dan penonton di negara ini.

Rata-rata rakyat Pakistan terutamanya kaum wanita meluahkan rasa kecewa kerana mereka tidak lagi dapat mengikuti drama dan filem-filem Bollywood yang amat popular di negara itu.

“Menonton drama-drama dan filem Bollywood merupakan satu-satunya hiburan yang kami ada untuk mengisi masa lapang.

“Kami tidak boleh keluar dari rumah kerana anggota keluarga dan suami tidak membenarkannya kecuali untuk pergi bekerja, ujar seorang pembantu rumah berusia 30 tahun, Rubina Jan Muhammad.

Arahan itu dikeluarkan ekoran pergolakan dan ketegangan antara dua negara jiran di selatan Asia itu.

Pertempuran sengit antara kerajaan India dengan penunjuk perasaan di Kashmir yang semakin memuncak sejak bulan Julai lalu turut menjadi penyumbang utama kepada penguatkuasaan larangan tersebut.

Hubungan juga dikatakan bertambah buruk pada 18 September lalu apabila kumpulan pengganas menyerang pangkalan tentera di bandar tersebut menyebabkan 18 anggota tentera India terbunuh.

Awal bulan ini, kesatuan yang mewakili pengedar filem serta panggung wayang di Pakistan menguatkuasakan larangan ta­yangan filem India di seluruh negara susulan tindakan Pertubuhan Penerbit Filem India (IMPPA) melarang pelakon dan juruteknik Pakistan bertugas di set penggambaran filem Bollywood.