Portal Bangkok Post melaporkan, jurucakap tentera, Mejar Filemon Tan sebagai berkata, tiga askar kerajaan turut terbunuh dalam serangan itu.

Menurut laporan itu, askar kerajaan berjaya merampas kawalan ke atas kem Abu Sayyaf itu di kawasan hutan di Basilan, tetapi letupan daripada bahan letupan buatan sendiri yang ditinggalkan oleh kumpulan militan tersebut menyebabkan 12 askar turut cedera.

“Selepas kami berjaya menguasai kem itu dan ketika melakukan pemeriksaan, bahan letupan berkenaan meletup,” katanya.

Seorang jurucakap tentera mengesahkan Mohammad Najib yang juga dikenali sebagai Abu Anas merupakan antara orang terbunuh dalam operasi berkenaan.

Mohammad Najib, 38, seorang pekedai runcit yang menjadi pakar bom menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dan terkenal sebagai pemimpin utama dalam sayap Bendera Hitam IS yang dipimpin seorang profesor dari universiti di Malaysia, Dr. Mahmud Ahmad atau Abu Handzalah yang bersembunyi dengan Abu Sayyaf di selatan Fili­pina.

Menurut tentera, pertempuran tersebut melibatkan 150 anggota Abu Sayyaf tetapi angka sebenar kematian tidak dapat disahkan.

Tan berkata, sebanyak 26 anggota Abu Sayyaf terbunuh, namun tentera gagal mendapatkan mayat mereka.

“Penduduk di kawasan ini mengesahkan angka kematian itu. Mereka dikebumikan mengikut ajaran Islam.

“Anggota Abu Sayyaf lain berjaya melarikan diri sebelum subuh semalam,’’ katanya.