Pendakwa raya memberitahu Mahkamah Tinggi, Khaw Kim-sun meninggalkan bola yoga itu di dalam sebuah kereta sebelum gas yang diletakkan dalam but kereta bocor sekali gus membunuh ke­semua mangsa.

Isteri Kim-sun dan anak perempuannya berusia 16 tahun ditemukan di bahu jalan dalam sebuah kereta Mini Cooper berkunci pada 2015, satu kejadian yang pada awalnya membingungkan polis.

Dua beranak itu disahkan me­ninggal dunia di hospital sama di tempat Kim-sun bekerja dan bedah siasat mendapati, mereka mati akibat terhidu gas karbon monoksida.

Polis menemukan sebiji bola yoga yang bocor di belakang kereta terbabit.

Bagaimanapun Kim-sun me­ngaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membunuh.

Pendakwa raya berkata, Kim-sun, 53, yang merupakan warganegara Malaysia didakwa mempunyai hubungan dengan seorang pelajarnya dan isteri tertuduh tidak mahu mereka bercerai.

Mereka menuduh lelaki itu merancang satu plot untuk membunuh isterinya, lapor South China Morning Post.

Pendakwa raya menjelaskan, adalah berkemungkinan Kim-sun tidak berniat membunuh anak perempuannya.

Menurut laporan Apple Daily, Kim-sun dikatakan meminta anak perem­puannya supaya kekal berada di rumah dan menyiapkan kerja sekolah pada tarikh kejadian itu berlaku.

Berdasarkan laporan, Kim-sun mengisi dua biji bola dengan karbon monoksida di Universiti Chinese tempat dia bekerja.

Kim-sun memberitahu rakannya bahawa dia merancang menggunakan gas itu ke atas arnab, namun kemudiannya memaklumkan kepada polis dia menggunakan gas terbabit untuk menghalau tikus di rumahnya. – AFP