MODEL kanak-kanak menggayakan pakaian rekaan Ryan Yasin, Petit Pli.
MODEL kanak-kanak menggayakan pakaian rekaan Ryan Yasin, Petit Pli.

Seorang pereka Britain berjaya menghasilkan sejenis pakaian yang boleh digunakan oleh seorang bayi berusia enam hingga 36 bulan tanpa perlu menggantikan pakaian itu sepanjang tempoh berkenaan.

Mail Online melaporkan, hasil rekaan Ryan Yasin, 24, bukan sahaja menarik, malah menjimatkan wang ibu bapa yang sepatutnya digunakan untuk membeli pakaian baharu kepada anak mereka yang cepat membesar.

Yasin berkata, dia memahami perasaan ibu bapa terbabit selepas membeli sendiri pakaian untuk anak saudaranya yang juga dalam proses membesar.

Oleh yang demikian, pemegang ijazah kejuruteraan itu mula mendapatkan fabrik boleh meregang yang akan menjadi lebih lebar dan panjang apabila ditarik untuk menghasilkan pakaian berkenaan.

Selain kalis air dan tahan ba­suhan, prototaip pakaian rekaan Yasin juga dikatakan ‘kalis serbuk’ atau debu.

Hasil kreativiti pereka muda itu juga membolehkannya me­raih anugerah kebangsaan, James Dyson Award yang diinspirasikan oleh pereka terkemuka Britain, Sir James Dyson.

Jelasnya, rekaan yang dina­makan ‘Petit Pli’ itu kini berada pada fasa prototaip akhir dan dijangka diperkenalkan di pasaran tidak lama lagi.

Yasin berkata, pihaknya sedang berusaha meningkatkan keupayaan manusia menerusi penghasilan ‘kulit kedua’ (pakaian) itu.

“Ketika ini, cara kita menghasilkan sesuatu pakaian masih ketinggalan dan dalam hal ini, kami mahu bersaing dengan ledakan teknologi se­perti yang di­­a­lami oleh indus­tri lain,” kata­nya.