JOANNE MOGAVERO

Menurut portal berita BBC, Joanne Mogavero dari Florida me­ngalami kesan melecur tahap kedua apabila penutup cawan kopi panas yang dibeli di kafe berkenaan tiba-tiba terbuka dan tertumpah di bahagian pahanya.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah kiosk pandu lalu di Jacksonville ketika Mogavero mengambil minuman panas itu daripada pekerja kafe tersebut untuk diberikan kepada rakan di sebelahnya.

Peguam mangsa, Steve Earle menegaskan, pekerja tersebut per­lu memberi amaran terlebih dahulu bahawa penutup ber­kenaan mudah terbuka dan perlu berhati-hati memegangnya sebelum memberikan kopi itu kepada Mogavero.

Juri mengarahkan kafe terbabit membayar pampasan sebanyak AS$85,000 (RM367,339) kepada Mogavero sebagai ganti rugi ke atas kecederaan yang dialami sementara AS$15,000 (RM64,824) lagi untuk menampung kos perubatan mangsa.

“Anak guam saya tidak memohon simpati daripada juri tetapi dia hanya mahukan keadilan. Kami amat berpuas hati dengan keputusan tersebut,” kata Earle.

Pasukan undang-undang Mo­ga­vero dalam satu kenyataan berkata, wakil kafe tersebut te­lah memberi keterangan semasa perbicaraan di Mahkamah Duval County dekat sini iaitu syarikat tersebut telah menerima 80 aduan dalam sebulan ekoran masalah penutup cawan kopi panas yang sering terbuka atau bocor.