Ribut terburuk dalam tempoh 30 tahun yang membawa angin kencang dengan kelajuan 75 kilometer sejam itu menga­kibatkan sekurang-kurangnya 30,000 penduduk di selatan Thailand dipindahkan ke pusat perlindungan sementara, semalam.

“Bumbung di beberapa bilik rumah saya hilang dan rumah saya kini dipenuhi lumpur,” kata seorang penduduk Talum Puk, BoonChuay Chuaysri.

Pabuk sebagaimana lapor BBC melalui pantai timur Thailand berhampiran kepulauan Ko Phra Thong pada pukul 7 pagi waktu tempatan hari ini dan sedang menuju ke selatan Laut Andaman dan kepulauan Nicobar.

Angin kencang yang dibawa oleh Pabuk turut mengakibatkan pokok tumbang menghempap kabel elektrik sekali gus mencetuskan gangguan bekalan elektrik kepada kira-kira 200,000 orang penduduk.

Sehingga hari ini, kira-kira 30,000 penduduk masih belum menerima sambungan elektrik.

Portal CNN melaporkan, ang­ka korban akibat Siklon Tropika Pabuk meningkat kepada tiga orang termasuk dua warga emas akibat lemas di Nakhon Si Thammarat.

Seorang lagi lelaki juga dikatakan mati selepas dihempap pokok ketika mangsa berada di rumahnya di Nakhon Si Thammarat, bagaimanpun laporan itu masih belum di­sahkan lagi.

Bagaimanpun bebarapa kawasan peranginan utama se­perti Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao disahkan selamat daripada tempias ribut kencang ini.

Lapangan Terbang Koh Sa­mui, Nakhon Si Thammarat dan Surat Thani sudah dibuka kepada orang ramai dengan beberapa penerbangan tambahan namun dilaporkan masih berlaku kelewatan.

Ketua Daerah Koh Samui, Kittipop Roddon berkata, setakat ini tiada sebarang korban dilaporkan di daerah itu dan pelancong kini boleh beransur pulang secara berperingkat ekoran keadaan cuaca yang semakin baik.

“Semuanya sudah tamat, kesemua 10,000 pelancong selamat dan saya lega,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi memberi amaran kepada kapal supaya terus berada berhampiran pantai selepas angin kencang dan ombak setinggi lima meter dijangka berlaku di Laut Andaman. AGENSI