Portal berita Press TV melaporkan, Ketua PA, Mahmoud Abbas telah mengadakan perbincangan dengan pergerakan Israel, Peace Now dan anggota Parlimen Israel di Ramallah semalam.

Beliau menegaskan telah ditawarkan sebuah ‘pelan politik’ oleh pasukan pengantara AS berdasarkan pembentukan persekutuan tersebut.

Beliau dilaporkan memberitahu pasukan itu, termasuk Penasihat Presiden AS, Jared Kushner dan Duta AS ke Asia Barat, Jason Greenblatt, beliau akan bersetuju dengan tawaran itu hanya jika Israel adalah sebahagian daripada persekutuan berkenaan.

“Saya ditanya sama ada saya percaya persekutuan dengan Jordan.

“Saya menjawab ya, saya mahu persekutuan dengan Jordan dan Israel. Saya juga bertanya kepada rakyat Israel jika mereka bersetuju dengan tawaran sedemikian,” katanya.

AS bakal membentangkan cadangan membabitkan konflik Pa­lestin-Israel, yang disifatkan Presiden AS, Donald Trump sebagai ‘kesepakatan abad ini’.

Mei lalu, laman web perisikan Israel DEBKAfile melaporkan, ran­cangan itu memberi rakyat Palestin kedaulatan terhad kepa­da kira-kira separuh daripada Tebing Barat yang diduduki Tel Aviv dan menetapkan Abu Dis, timur Baitulmuqaddis sebagai ibu negara mereka.

Tahun lepas, Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan mahu memindahkan Kedutaan AS ke bandar itu, menyebabkan PA berhenti mengiktiraf peranan AS sebagai perantara rundingan damai degan Israel.

Mahmoud kemudian menegas­kan pihaknya tidak lagi boleh mem­percayai Washington dan mendakwa AS bertindak kejam terhadap rakyat Palestin.

Pelan AS juga dilaporkan akan memberikan kedaulatan kepada rakyat Palestin ke atas Genting Gaza dengan syarat pergerakan Hamas meletakkan senjata mereka.

Menurut Duta AS ke Israel, David Friedman, Washington tidak mempunyai tarikh akhir yang tepat untuk mendedahkan rancangannya dan tidak akan membentangkannya pada sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan datang.

“Kami tidak akan membincangkan apa-apa idea atau perbualan peribadi yang mungkin atau tidak mungkin dibuat bersama para pemimpin di rantau ini,” kata Greenblatt merujuk kepada rundingan pasukan AS mengenai rancangan itu dengan negara serantau.