Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) memaklumkan bahawa angka korban itu akan terus meningkat dalam tempoh terdekat, selain lebih 128 orang masih hilang dan lebih 1,459 cedera dalam bencana yang berlaku, kelmarin.

Jurucakapnya, Sutopo Purwo Nugroho turut menyatakan bahawa jumlah kemusnahan dijangka meningkat memandangkan masih banyak tempat yang terjejas belum dimasuki pasukan keselamatan.

Pasukan keselamatan menggunakan jentera penggali serta beberapa peralatan lain bagi mengangkat serpihan runtuhan di sekitar kawasan terjejas hari ini, selain ribuan penduduk dipindahkan dari kawasan bencana.

Pegawai kanan BNPB, Dody Ruswandi berkata, pasukan keselamatan yang terdiri daripada anggota polis dan tentera giat mencari mangsa yang tersekat celah runtuhan dan operasi SAR akan dilakukan sekurang-kurangnya selama seminggu.

Tsunami yang melanda pada pukul 9.30 malam waktu tempatan selepas Gunung Berapi Anak Krakatau meletus itu juga menyebabkan ratusan bangunan runtuh serta rosak, selain banyak pokok tumbang dan dihanyutkan ombak.

Dalam pada itu, Sutopo mendedahkan bahawa sistem boya tsunami Indonesia tidak berfungsi sejak 2012 kerana disebabkan oleh beberapa faktor termasuk vandalisme, kekurangan dana, dan masalah teknikal.

Jelasnya, sistem tersebut perlu dinaiktaraf bagi memastikan penduduk menerima amaran awal dan dapat mengelak korban nyawa yang tinggi.

“Setakat ini, Indonesia tidak memiliki sistem amaran tsunami yang boleh mengesan fenomena tanah runtuh dan aktviti letusan gunung berapi di dasar laut.

“Ketiadaan sistem ini boleh menyebabkan kegagalan mengesan bencana tsunami pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, Indonesia kini hanya memiliki sistem amaran yang diakibatkan oleh gempa bumi. – AFP/AGENSI