Jurucakap Kementerian Perhubungan Indonesia, Pramintohadi Sukarno berkata, pada 7 Oktober, hanya 2,535 penum­pang yang dibawa keluar dan masuk ke Palu tetapi angkanya meningkat keesokan harinya menjadi 3,023 orang penum­pang dan seterusnya.

Beliau berkata, 14,188 orang penumpang menggunakan lapangan terbang itu sejak 20 September hingga 9 Oktober dan angka itu dijangka me­ningkat ketika kemudahan dan perkhidmatan terus dipulihkan kepada 100 peratus.

“Langkah ini dapat mempercepatkan proses pemindahan, pemulihan dan penyelarasan daerah Palu dan Donggala selepas gempa bumi dan tsunami lalu,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, polis Indonesia berkata, polis daerah Sulawesi Tengah terputus hubungan dengan sebanyak 69 orang anggotanya sejak bencana berganda berlaku baru-baru ini.

Jurucakap polis Indonesia, Setyo Wasisto berharap ke­semua anggota polis itu selamat walaupun tiada perkhabaran sejak dua minggu lalu.

Pada masa sama, jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, pihaknya masih mengumpul data kerugian dan kerosakan akibat gempa bumi Palu dan proses pemulihan dan pembinaan semula dijangka bermula awal bulan depan,

Katanya, operasi mencari dan mengeluarkan mangsa akan dihentikan esok.

“Perkhidmatan bagi ke­perluan asas penduduk di kem penempatan sementara, perkhid­matan kesihatan, pengagihan logistik, perkhidmatan sekolah kecemasan, pembangunan tempat tinggal sementara dan sebagainya dilanjutkan sehingga akhir bulan ini,” katanya.

Setakat hari ini, angka korban bencana Palu meningkat kepada 2,045 orang.

Sementara itu, kerajaan Indonesia menjelaskan bahawa dasar mereka ke atas bantuan asing, pekerja bantuan dan sukarelawan bukan berniat menghalang mereka daripada memasuki Sulawesi.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan menjelaskan, pekerja bantuan asing perlu terlebih dahulu menyelaras dengan pasukan, agensi, atau pertubuhan bukan kerajaan yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat di Palu.

“Kesemua bantuan termasuk sukarelawan asing hanya akan masuk selepas penyelarasan dan kelulusan diberikan, jadi tujuan mereka, peranan dan fungsi adalah jelas.

“Agak penting usaha pemulihan ini di selaras supaya tidak berlaku isu lebihan keperluan di lapangan sedang kami tidak menerima bantuan yang sepatutnya,” katanya. - AGENSI