Ketua Perkhidmatan Perubatan dan Kecemasan Iran, Pir-Hossein Kolivand berkata, operasi menyelamat di barat wilayah Kermanshah telah dihentikan.

Gempa bumi sekuat 7.3 pada skala Richter yang menjejaskan sekurang-kurangnya 14 wilayah negara ini telah menggegarkan kampung dan bandar di kawasan pergunungan wilayah Ker­manshah bersempadan dengan Iraq ketika penduduk sedang tidur.

Ribuan penduduk dilaporkan terpaksa bermalam di kem-kem penempatan sementara ketika penduduk lain bermalam di kawasan terbuka buat hari kedua berturut-turut.

Seorang wanita muda di bandar Sarpol-e Zahab berkata, keluar­ganya terdedah kepada kesejukan malam kerana masalah kekurangan khemah.

“Amat sejuk pada waktu malam dan kami perlukan pertolongan dan pihak berkuasa perlu mempercepatkan bantuan,” katanya.

Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei merakamkan ucapan takziah dan meminta agensi-agensi kerajaan melakukan apa sahaja yang boleh membantu mangsa terjejas.

Polis Iran, pasukan elit penga­wal revolusi Iran dan militia Basij turut dikerahkan ke lokasi terjejas gempa.

Stesen televisyen Iran merakamkan usaha pasukan penyelamat mengeluarkan mang­sa daripada sisa runtuhan tetapi jurucakap kerajaan mendakwa peluang menemui mangsa yang masih hidup adalah tipis.

Pada masa sama, pemimpin dan masyarakat antarabangsa me­rakamkan ucapan takziah kepada Iran yang te­ruk dilanda gempa bumi itu.

Setiausaha Pertubuhan Bang­­sa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang sedih dengan apa yang berlaku berkata, badan dunia itu bersedia untuk memberikan bantuan. – REUTERS/BERNAMA