Mujahid Yusof Rawa
MUJAHID YUSOF RAWA

Seramai 16,200 jemaah mela­kukan nafar awwal dan kembali ke Mekah dari Mina semalam dengan bas pertama bergerak se­awal pukul 6.04 pagi.

Bagi jemaah selebihnya yang terus berada di Mina melakukan nafar thani, mereka kembali se­mula ke Mekah seawal pukul 7 pagi ini selepas melontar ketiga-tiga jamrah pada waktu subuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dalam sidang akhbar memberitahu, Tabung Haji menetapkan jemaah yang menaiki penerbangan awal melakukan nafar awwal kerana perlu membuat persiapan untuk pulang ke tanah air.

Nafar awwal adalah keluar dari Mina selepas selesai melontar Jamrah Sughra, Wusta dan Kubra pada 12 Zulhijah sebelum terbenam matahari.

Mujahid berkata, seperti juga pergerakan dari Mekah ke Arafah, setiap bas juga akan melakukan tiga perjalanan bagi membawa jemaah haji balik ke Mekah dari Mina.

“Yang balik dari Mina terus melalukan tawaf dan saie secara berperingkat supaya sempurna ibadat haji mereka,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian jemaah iaitu yang sebelum ini terus memasuki Mekah akan bergerak memasuki Madinah tidak lama lagi.

“Apabila semua jemaah sudah keluar dari Mina bermakna selesai­lah masyair haji,” katanya. – UTUSAN