Menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IOM) melalui Projek Pelarian Hilang, seramai 11 pelarian maut di Mediterranean awal tahun ini termasuk empat daripadanya yang mengalami hipotermia di sempa­dan Eropah dengan Turki.

Sebelum ini seorang wanita Somalia ditemukan mati disyaki mengalami hipotermia di Bulgaria dan seorang lelaki Afghanistan turut maut di utara Greece manakala dua lelaki Iran mati kesejukan dekat sempadan Turki-Bulgaria.

Bulgaria memaklumkan, setakat ini tujuh rakyatnya terkorban dengan mangsa terbaharu adalah pasangan suami isteri berusia 80-an yang ditemukan mati di rumah mereka di kawasan pergunungan Smolyan, selatan negara itu.

Menurut agensi Help Refugee, keadaan pelarian bertambah teruk ekoran jumlah pelarian dan pencari suaka yang semakin ramai di Eropah dan keadaan kem serta pe­nempatan yang teruk.

“Ribut salji masih berterusan. Keadaan semakin terde­sak kerana ribuan pelari­an terdedah kepada cuaca sejuk,’’ kata pengasas bersama agensi itu, Josie Naughton dari Thessaloniki, utara Greece.

IOM memaklumkan, pihaknya bimbang tentang keadaan lebih 15,5000 pelarian dan pencari suaka yang ditempatkan di kem yang tidak mempunyai kemudahan asas di pulau-pulau di Greece.

Dalam pada itu, lebih 7,500 pelarian terkandas akibat cuaca sejuk melampau di Serbia terma­suk berpuluh-puluh lagi yang terperangkap di sempadan Hungary.

Agensi kebajikan perubatan, Doctors Without Borders (MSF) memberitahu stesen televisyen Britain, ITV, pihaknya merawat kes pertama melibatkan ‘fros-bite’ di Serbia selain memberi amaran risiko kematian akibat hipotermia jika mangsa tidak diberi bantuan sewajarnya.

Di Belgrade, Serbia, kira-kira 1,500 pelarian termasuk kanak-kanak yatim piatu terpaksa tidur dalam bangunan terbiar.

Agensi itu menggesa negara-negara Eropah bertindak segera bagi mengelak lebih banyak kematian.

Minggu lalu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) meminta agar pelarian yang terkandas di pulau-pulau dipindahkan ke tanah besar atau negara Eropah. – Reuters/AFP