Militan IS dijangka menawan keseluruhan lokasi berkenaan memandangkan pertempuran antara kumpulan itu masih berterusan dengan rangkaian kumpulan pengganas al-Qaeda, Barisan al-Nusra.

Portal syriadirect.org melaporkan, pertempuran itu memaksa pelarian Palestin bersembunyi di rumah masing-masing apabila pe-nembak hendap daripada kedua-dua kumpulan militan tersebut melepaskan tembakan terhadap sebarang objek yang bergerak.

Penduduk juga dilapor berdepan kesukaran untuk mendapatkan be­kalan air berikutan pergerakan kumpulan penembak hendap di kawasan berkenaan.

Aktivis yang tinggal di kawasan kem yang dikuasai Barisan al-Nusra, Abu Muhammad berkata, terdapat pusat bekalan air yang diwujudkan pelbagai pertubuhan di pintu masuk kem atau jalan-jalan, namun agak sukar bagi penduduk mendapatkan bekalan air kerana bimbang ditembak.

Kerajaan Syria memotong bekalan air ke kem itu lebih setahun lalu sebelum lokasi tersebut dikuasai Barisan al-Nusra dan militan IS.

Sejak Khamis lalu, hanya dua buah trak air datang menyediakan bekalan di tiga atau empat kawasan kem.

“Pertempuran hebat antara Barisan al-Nusra dan IS sejak Khamis lalu membuktikan mereka tidak berdepan masalah kekurangan bekalan senjata atau peluru selain tidak terkesan akibat kepungan tentera kerajaan,’’ kata Abu Muhammad.

Kem Pelarian Yarmouk yang pernah dihuni kira-kira 160,000 pela-rian Syria dan Palestin terjejas teruk akibat keganasan yang bermula sejak penghujung 2012.

Tentera Syria mengenakan ke­pungan ketat di kem pelarian itu sehingga mengakibatkan kematian penghuninya ekoran kekura­ngan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

IS merampas sebahagian kem Yarmouk pada April tahun lalu dan berperang bersama batalion Barisan al-Nusra di dalam kem itu walaupun kumpulan bersenjata Palestin dan tentera prokerajaan berjaya memaksa pengunduran kumpulan militan berkenaan.

Sementara itu, agensi berita IS, Amaq berkata, kumpulan itu kini menguasai kebanyakan kem tersebut.

Menurut jurucakap PLO, terdapat 6,000 orang awam masih berada di dalam Yarmouk bersama kira-kira 3,000 anggota IS. – AGENSI/AFP