Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan pertempuran juga berlaku berhampiran Hospital Al-Thawra di selatan Hodeidah meletakkan nyawa kira-kira 59 kanak-kanak termasuk 25 dalam unit rawatan rapi, berada dalam bahaya.

Serangan udara di kawasan perumahan menyebabkan sekatan jalan dilakukan bagi mengelakkan orang awam memasuki atau keluar dari Hodeidah.

BBC melaporkan, lebih 150 orang dilaporkan terkorban apabila pasukan tentera kerajaan dan anggota kumpulan militia bertempur di pinggir bandar tersebut sejak Khamis minggu lalu.

Sebanyak 200 serangan udara dilancarkan di Hodeidah pada Sabtu lalu dan petugas perubatan memaklumkan berlaku pertempuran di lapangan terbang dan berhampiran sebuah universiti di barat bandar ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan kebajikan memberi amaran bahawa pertempuran itu menjejaskan kemudahan perubatan serta ribuan nyawa penduduk awam.

Hodeidah merupakan ‘pe­nyambung nyawa’ kepada ribuan penduduk Yemen yang kini diancam krisis kebuluran akibat perang kerana 80 peratus bantuan kemanusiaan, bekalan minyak dan barangan komersial dihantar melalui bandar itu.

PBB menjangkakan jumlah korban akan terus meningkat sekiranya Hodeidah musnah atau laluannya disekat.

Sejak bermulanya perang pada 2015, sekurang-kurangnya 6,660 penduduk awam terkorban dan 10,560 yang lain cedera.

Perang dan sekatan yang dikenakan menyebabkan 22 juta penduduk Yemen memerlukan bantuan kemanusiaan selain berdepan dengan wabak kolera yang menjangkiti kira-kira 1.1 juta penduduk di negara ini.

Pertempuran di bandar ini meningkat sejak minggu lalu selepas Amerika Syarikat (AS) yang menyediakan sokongan logistik dan perisikan kepada pa­sukan tentera pakatan menggesa hubungan antara tentera Yemen dan kumpulan pembe­rontak dipulihkan.

Selain itu, AS juga mendesak supaya rundingan damai antara kedua-dua pihak dimulakan pada akhir bulan ini.