Mail Online melaporkan, ketika kejadian, kanak-kanak berusia 12 tahun itu dan bapanya berada di luar pagar premis dengan tujuan mahu menyaksikan pesawat mendarat di sebuah lapangan terbang di pulau berkenaan yang menjadi destinasi tarikan pelancong.

Pesawat yang mahu berlepas itu menghasilkan deruan angin kencang sehingga mengakibatkan mangsa terpelanting kira-kira 9.1 meter ke belakang.

Mujur kanak-kanak itu jatuh di atas pasir dalam kejadian yang boleh membawa maut berdasarkan pandangan para pakar.

Ribuan pengunjung melawat Pulau Skiathos pada setiap tahun dan lawatan ke lapangan terbang pulau itu untuk melihat pesawat penumpang mendarat sudah menjadi kelaziman.

Difahamkan kejadian berlaku petang kelmarin selepas bapa dan anaknya bersama-sama berpuluh-puluh pelancong lain berdiri di pagar untuk melihat pesawat penerbangan TUI jenis Airbus 320 berlepas ke London.

Kuasa tolakan angin kuat daripada turbin enjin pesawat kemudiannya mengenai kanak-kanak itu sebelum menyebabkannya tercampak ke udara.

Kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke Pusat Kesihatan Skiathos dan pemeriksaan perubatan penuh dijalankan ke atasnya.

Pasukan perubatan mengesahkan kanak-kanak itu diberikan bantuan kecemasan sebelum dipindahkan ke Hospital Achilopouleio of Volos untuk rawatan lanjut.

Menurut kakitangan perubatan, kanak-kanak itu dijangka selamat.