“Kami bersetuju dengan isi kandungan resolusi terbaru Majlis Keselamatan,” kata Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier selepas mesyuarat para Menteri Luar anggota tetap Majlis Keselamatan di Berlin.

Steinmeier berkata, resolusi tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan “dalam beberapa minggu lagi.”

Sementara itu Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov memberitahu, draf resolusi baru membayangkan rundingan langsung dengan Teheran yang membabitkan Amerika Syarikat (AS).

“Resolusi baru itu secara jelas membayangkan bahawa rundingan langsung bagi menyelesaikan semua persoalan berkaitan dengan program nuklear Iran, dengan penyertaan semua lima kuasa termasuk AS, akan dimulakan apabila Iran menerima cadangan,” jelas Lavrov.

Beliau dilaporkan oleh agensi berita Ria-Novosti sebagai berkata, teks resolusi yang baru tidak membabitkan sekatan baru.

Lavrov berkata, perkataan baru yang dimasukkan dalam resolusi baru itu “bukan sahaja mengakui tetapi menerima kemajuan yang dicapai oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam mencari penjelasan program nuklear Iran”.

Menurut Menteri Luar Rusia itu, Iran telah berjanji memberikan jawapan berhubung soalan-soalan tertangguh dalam “tempoh dua atau tiga minggu.”

Sementara itu, seorang pegawai AS mendakwa resolusi baru “meningkatkan keberkesanan sekatan yang sedia ada dan akan memperkenalkan beberapa elemen baru.”

– AFP