Menurut portal berita Huftington Post, pengeluar telefon jenama Nokia, HMD Global merancang untuk melancarkan telefon bimbit paling popular itu pada Kongres Telefon Sedunia (MWC) yang akan diadakan pada 27 Februari sehingga 2 Mac ini.

Telefon bimbit itu dijangka dijual pada harga 59 euro (RM278) tetapi maklumat terperinci hanya akan didedahkan pada kongres tersebut.

Selain itu, HMD Global juga dilaporkan akan turut melancarkan beberapa produk te­lefon pintar mampu milik di bawah jenama yang sama pada kongres itu.

Nokia 3310 pertama kali dikeluarkan pada tahun 2000, dan amat terkenal dengan tahap ketahanan bateri yang lama sehingga 10 hari, mudah digunakan serta tahan lasak.

Alat komunikasi itu juga pernah menjadi telefon bimbit paling laris di dunia sebelum teknologi telefon pintar mula menguasai pasaran.

Telefon bimbit itu kembali menjadi sebutan minggu lalu selepas seorang lelaki Britain, Dave Mitchell, 40, mendakwa memiliki telefon tersebut yang masih berfungsi dengan baik.

Mitchell mengakui tidak pernah menukar gajet tersebut dan tidak mengambil endah apabila dijadikan bahan lawak oleh rakan-rakannya kerana menggunakan telefon bimbit yang dianggap ketinggalan zaman itu.