Menurut Arden, New Zealand menggunakan beratus-ratus juta beg plastik setiap tahun dengan kebanyakannya menjadi bahan pencemaran yang menjejaskan hidupan marin.

“Kita perlu jauh lebih bijak dalam cara kita menguruskan sisa dan ini adalah permulaan yang baik.

“Kami akan menghentikan penggunaan beg plastik supaya kami dapat memantau persekitaran kami dengan lebih baik dan melindungi reputasi bersih serta hijau New Zealand,” jelasnya.

Ardern berkata, kerajaan gabungannya termasuk Parti Hijau berdepan cabaran alam sekitar dan seperti juga perubahan iklim, pihaknya akan mengambil langkah-langkah penting untuk me­ngurangkan pencemaran plastik supaya masalah ini tidak membebankan generasi akan datang.

Beg plastik adalah sampah pa­ling biasa ditemui di kawasan pantai di New Zealand dan kumpulan pencinta alam sekitar mengalu-alukan keputusan untuk mengharamkan penggunaannya.

“Ini boleh menjadi langkah besar dalam mengubah pencemaran plastik di lautan dan usaha pen­ting pertama dalam melindungi hidupan marin seperti penyu serta paus laut daripada sisa plastik,” kata Anggota Greenpeace Oceans, Emily Hunter.

Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan Jun menyatakan, sehingga lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun atau hampir 10 juta beg plastik seminit.

“Jika disambung, kesemua beg plastik ini boleh membalut dunia sebanyak tujuh kali setiap jam dan seperti kebanyakan sampah plastik, hampir tidak ada yang dikitar semula,” kata Ketua Alam Sekitar PBB, Erik Solheim.

Menurut PBB, lebih daripada 60 buah negara telah memper­kenalkan larangan dan levi ke atas barangan plastik sekali guna seperti beg.

Tetapi jelasnya, pengurusan sisa yang lebih baik, insentif kewangan untuk mengubah tabiat membeli pengguna dan penyelidikan tentang bahan alternatif diperlukan untuk membuat perubahan sebenar. –AFP