Wanita yang tidak dinamakan itu melahirkan anak perempuan melalui pembedahan di sebuah hospital swasta di Melbourne Isnin lalu, menjadikannya sebagai ibu tertua yang melahirkan anak di Australia.

Namun Presiden Persatuan Perubatan Australia, Michael Gannon mengecam keputusan wanita terbabit dan pasangannya yang berusia 78 tahun, melahirkan anak pada usia lanjut.

Sambil menyifatkan tindakan wanita itu sebagai salah, Gannon menjelaskan, wanita lanjut usia sepatutnya mementingkan tahap kesihatan berbanding memikirkan untuk mendapatkan anak.

“Wanita hamil pada usia lanjut berisiko menghidap diabetes, masalah tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar dan darah beku.

“Isu ini juga melibatkan soal hak terutamanya masa depan bayi dan pandangan masyarakat,” jelasnya menerusi kenyataan dalam laman sosial Twitter.

Tiada undang-undang yang me­larang wanita tua menjalani rawatan IVF di Australia untuk mendapatkan anak, tetapi wanita berusia 50 tahun ke atas tidak digalakkan berbuat demikian atas faktor kesihatan.

Sependapat dengan Gannon, pakar pembangunan IVF, Profesor Gab Kovacs berkata, mengandung pada usia 62 tahun boleh membahayakan nyawa bayi dan ibu.

Jelasnya, wanita berkenaan mungkin menghidap penyakit darah tinggi yang biasa berlaku pada usia senja. – AFP