Mail Online melaporkan, pelan radikal itu dibiayai oleh Peter Thiel yang juga pengasas syarikat peneraju dalam perkhid­matan pembayaran serta pemindahan wang dalam talian, PayPal.

Sementara itu, pembangunan infrastruktur termasuk hotel, kediaman, pejabat, restoran dan sebagainya pula akan dibangunkan oleh sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan iaitu Seasteading Institute beberapa tahun kemudian.

Presiden Seasteading Institute, Joe Quirk dalam satu temu bual baru-baru ini berkata, dia mahu melihat kewujudan ‘ribuan’ bandar terapung menjelang tahun 2050 nanti.

Katanya, setiap daripada bandar terapung itu pula akan mempunyai corak ‘pentadbiran yang berbeza’ mengikut acuan mereka sendiri.

“Kerajaan yang mentadbir sekarang masih tidak berubah ke arah yang lebih baik,” katanya kepada The New York Times.

Difahamkan, pembiayaan bandar terapung yang pertama itu nanti akan dibuat menerusi penawaran syiling iaitu konsep baharu untuk pengumpulan dana daripada penghasilan dan penjualan mata wang digital seperti projek pembangunan Lembah Silikon sebelum ini.

Untuk itu, Seasteading Ins­titute dikatakan berharap dapat mengumpul dana sehingga AS$60 juta (RM251.30 juta) dalam tempoh tiga tahun lagi bagi merealisasikan projek terbabit.

Dalam pada itu, Polinesia Pe­ancis iaitu sebuah negara kepulauan kecil di Lautan Pasifik dikatakan sedang membangunkan sebuah zon ekonomi khas bagi membolehkan sistem undang-undang perdagangan dilaksanakan di bawah pentadbiran negara terapung itu sendiri.

Ketika ini, negara kepulauan kecil yang terbentuk hasil gabungan 118 pulau di selatan Pa­sifik serta memiliki populasi penduduk sekitar 200,000 orang itu juga telah ‘mengurniakan’ kawasan pesisir pantai berukuran lebih 40 hektar kepada Seasteading Institute untuk merea­lisasikan pembinaan projek negara terapung berkenaan.