Menurut pengawal sempadan Bangladesh, kesemua mayat termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak itu dipercayai daripada sebuah bot yang terbalik berhampiran sempadan perkampungan Shah Porir Dwip yang menghubungkan Myanmar dan Bangladesh.

Portal Rohingya Blogger melaporkan, bot berkenaan terbalik akibat diserang kumpulan lanun ketika perjalanan ke negara ini.

Ketika kejadian, bot berkenaan membawa 50 etnik Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar dan menunju ke pintu sempadan Bangladesh, selain angka korban insiden tersebut dijangka boleh mening­kat sehingga 39 orang eko­ran ramai dikhuatiri hilang.

Sehingga kini, seramai 11 orang berjaya diselamatkan yang terdiri daripada lelaki, wanita dan remaja.

Dalam pada itu, Organisasi Migrasi Antarabangsa menerusi portal berita Al-Jazeera semalam menyatakan jumlah pelarian Rohingya ke Bangladesh ketika ini mencecah 370,000 orang dan dijangka terus meningkat dengan mendadak dalam tempoh terdekat.

Golongan minoriti itu terus memenuhi laluan air dan darat untuk memasuki Bangladesh bagi melarikan diri daripada penindasan serta kekejaman yang dilakukan oleh pihak berkuasa Myanmar.

Jurucakap organisasi berke­naan, Leonard Doyle ber­kata, jumlah pelarian Rohingya kini sudah melebihi anggaran yang ditetapkan dan keadaan itu amat membimbangkan banyak pihak.

“Secara jelas, jumlah pela­rian sudah melebihi anggaran dan akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengeluarkan amaran bahawa bekalan makanan, minumam dan keperluan asas yang lain semakin berkurangan ekoran jumlah pelarian Rohingya yang memasuki Bangladesh semakin bertambah.

Sehubungan itu, ba­dan dunia tersebut menggesa semua agensi bantuan meningkatkan jumlah bantuan bagi menampung keperluan etnik Rohingya di kem pelarian di Bangladesh.

Wakil PBB, George William Okth-Obbo berkata, tindakan itu perlu dilakukan segera bagi memastikan keadaan terkawal.

“Jumlah pelari­an semakin bertambah dan keadaan itu membimbangkan banyak pihak. Oleh hal yang demikian, kami memerlukan bantuan yang lebih banyak memandangkan dana sebelum ini tidak mencukupi untuk menampung kesemua etnik Rohingya,” jelasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina meminta PBB dan komuniti antarabangsa menekan Myanmar untuk membenarkan kesemua etnik Rohingya kembali ke tempat asal mereka di Rakhine.

Dalam lawatannya ke kem pelarian Rohingya di Kutupalong semalam, Hasina menyatakan Bangladesh akan terus menawarkan bantuan serta perlindungan kepada Rohingya namun Myanmar perlu ‘membawa pulang’ golongan minoriti itu ke negara tersebut.

“Myanmar perlu bawa semua etnik Rohingya yang ada di Bangladesh pulang ke kampung asal mereka dan mewujudkan satu suasana yang aman,” ujar­nya. – AGENSI