Pentadbir NASA, Jim Bridenstine berkata, pihaknya kini telah mengenal pasti syarikat yang akan menguruskan pengkomersialan stesen berkenaan.

“Saya telah berunding dengan banyak syarikat besar yang berminat untuk terlibat dalam usaha ini melalui konsortium,” katanya yang merupakan bekas ahli Kongres Oklahoma dan telah mengangkat sumpah sebagai pemimpin agensi itu pada April lalu.

Walau bagaimanapun Bridenstine tidak mendedahkan nama syarikat yang telah mengadakan rundingan dengan beliau.

Pada awal tahun ini White House telah mengumumkan akan menghentikan pembiayaan pangkalan luar orbit menjelang 2025, keputusan yang mencetuskan tentangan hebat daripada ramai ahli Parlimen.

Senator Republikan dari Texas, Ted Cruz merupakan salah seorang yang lantang mengkritik keputusan yang disifatkan ‘bodoh’ itu.

“Keputusan membatalkan pro­gram ini adalah paling bodoh selepas berbilion-bilion dolar di­laburkan sedangkan masih banyak kegunaannya dan masih diperlukan untuk masa hadapan,” katanya.

Pelaburan tahunan Amerika Syarikat dalam makmal angkasa menelan belanja antara AS$3 juta (RM12 juta) sehingga AS$4 juta (RM16 juta).

Makmal bersaiz sebuah padang bola sepak itu dibina dengan kos AS$100 bilion (RM397.7 bilion) dan beredar kira-kira 400 kilometer di atas bumi.

Makmal itu turut dikongsi de­ngan Rusia, Jepun, Kanada dan Eropah malah digunakan angkasawan sejak 2000.

Menurut pakar angkasa, ciri dan kebergantungan ISS terhadap kerjasama global termasuk pengli­batan AS akan menyukarkan rancangan untuk menswastakannya.

Pembinaan stesen angkasa itu telah dibantu syarikat Boeing yang turut memberi sokongan teknikal secara berterusan.

Pengurus program stesen angkasa Boeing, Mark Mulqueen me­ragui cadangan NASA itu.

“Menyerahkan aset negara yang berharga kepada pengusaha ko­mersial sebelum diserahkan kepada syarikat swasta yang mampu menanggungnya akan membawa implikasi buruk kepada kepe­mimpinan AS di angkasa dan peluang untuk membina perusahaan swasta yang memfokuskan angkasa,” katanya. – AFP