Penerbangan perintis ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) menggunakan kapsul krew yang dibina secara komersial itu menjadi misi pertama membawa angkasawan dari Amerika Syarikat (AS) ke orbit sejak program angkasa ikonik tersebut berakhir pada 2011.

Sejak tujuh tahun lalu, angkasawan NASA menjalankan misi ke orbit menggunakan pesawat angkasa Soyuz dari Rusia dengan kos kira-kira AS$80 juta (RM326.1 juta) untuk setiap tempat duduk.

“Ini adalah satu kejayaan besar bagi negara dan kami mahu seluruh rakyat tahu bahawa AS sudah kembali, menerbangkan angkasawan AS dengan kapal angkasa buatan sendiri dari tanah AS,” kata Pentadbir NASA, Jim Bridenstine.

Menurut NASA, ujian penerbangan kapal angkasa tanpa pemandu Boeing dijadualkan pada akhir tahun ini, dengan pener­bangan krew pertama di atas kapal tersebut pada pertengahan 2019.

Bagi SpaceX, demonstrasi pe­nerbangan tanpa penumpang di­tetapkan pada November ini dan penerbangan sebenar pesawat dijadualkan pada April 2019.

Krew penerbangan ujian Boeing Starliner itu termasuk veteran NASA, Eric Boe dan Christopher Ferguson bersama dengan Nicole Aunapu Mann, anggota tentera laut yang dinamakan sebagai angkasawan NASA pada 2013.

“Ini akan menjadi detik paling membanggakan bagi AS,” kata Mann.

Presiden AS, Donald Trump turut memuji perkembangan tersebut sambil menyifatkannya sebagai kemunculan semula terbesar NASA di bawah pentadbirannya.

“Kami mempunyai kemudahan terbesar di dunia dan kami kini membiarkan sektor swasta membayar untuk menggunakannya. Perkara yang menarik akan berlaku,” kata Trump. – AFP