Portal BBC melaporkan, jawatan tersebut diwujudkan de­ngan matlamat untuk mempertahankan Bumi daripada ‘dijajah’ makhluk asing.

Secara terperincinya, calon yang layak mengisi jawatan terbabit perlu mengelakkan berlakunya ‘pencemaran biologi dalam tubuh manusia selain menjalankan pe­nerokaan angkasa robotik’.

Disebabkan tugas yang kelihatan begitu ‘mencabar’, gaji yang ditawarkan juga agak menarik.

Difahamkan, mereka yang menjawat jawatan itu akan menerima gaji tahunan antara AS$124,406 (RM532,892) hingga AS$187,000 (RM801,013).

Iklan mengenai kekosongan jawatan itu telah dibuka kepada semua warga Amerika Syarikat (AS) yang berminat sejak Julai lalu dan tarikh tutup permohonan ditetapkan pada pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun, tidak ramai yang menyedari kewujudan iklan tersebut.

Dalam pada itu, NASA turut menekankan kriteria yang perlu dimiliki oleh setiap individu sebelum memohon jawatan ber­kenaan.

Selain memiliki pengetahuan berkaitan ‘perlindungan planet’, calon juga perlu mempunyai pengalaman dalam mana-mana program angkasa di peringkat kebangsaan.

Lebih penting, calon juga perlu memiliki ijazah dalam bidang fizik, kejuruteraan atau matematik serta boleh menyimpan ‘rahsia’ berkaitan keselamatan negara.