Berdasarkan senarai nama syarikat yang disiarkan minggu lalu melalui laman sesawang Ke­men­terian Buruh, syarikat be­sar antaranya sebuah agensi peng­iklanan serta syarikat elektronik ternama tersenarai kerana melaksanakan kerja lebih masa secara haram.

Sebuah syarikat logistik dan perkhidmatan kiriman turut dinamakan kerana gagal melaporkan kes kecederaan kakitangan semasa bekerja.

Penderaan seperti kerja le­bih­ masa secara haram menjadi ke­biasaan di negara ini sejak berdekad-dekad lalu sehinggakan pihak media menggelar syarikat terlibat sebagai ‘syarikat hitam’.

Tempoh kerja yang terlalu panjang mencetuskan kemarahan penduduk terutama selepas kejadian bunuh diri seorang pekerja muda pada 2015.

Tindakan membunuh diri kemudian disifatkan oleh kerajaan Jepun sebagai karoshi sehingga memaksa Perdana Menteri, Shinzo Abe menetapkan pembaharuan peraturan buruh sebagai polisi utamanya.

Dalam pada itu, senarai syarikat yang dikemukakan kementerian itu turut meliputi 334 syarikat yang menerima amaran ekoran pelaksanaan kerja lebih masa yang keterlaluan dan lain-lain pelanggaran hak buruh antara Oktober tahun lalu dan Mac lepas.

Biro-biro buruh mendedahkan kes tersebut kepada umum walaupun ada yang tidak mendedahkan nama syarikat.

Walau bagaimanapun, kata seorang pegawai kementerian tersebut, tidak semua nama syarikat yang sedang disiasat didedahkan atau berada dalam senarai tersebut.

Kementerian berkenaan ber­tin­dak mendedahkan nama-nama syarikat itu bagi membantu menggalakkan pematuhan peraturan dan memberi kesan positif kepada orang ramai.

Senarai tersebut akan dikemas kini setiap bulan. – REUTERS