Kementerian Kecemasan Rusia berkata, pesawat Boeing 737-800 itu dalam penerbangan dari Dubai ke bandar Rostov-on-Don terhempas pada pukul 3.50 pagi waktu tempatan.

Kebanyakan penumpang pesawat FZ981 itu adalah warga Rusia.

“Pesawat berkenaan terhempas dan berkecai.

“Menurut data awal, terdapat 55 penumpang dan tujuh anak kapal dalam pesawat itu, Kesemua mereka terbunuh,” kata Jawatankuasa Siasatan Rusia dalam satu kenyataan di laman web mereka, hari ini.

Kementerian Kecemasan wilayah Rostov dalam satu kenyataan berkata, bahagian sayap pesawat itu mencecah tanah terlebih dahulu ketika jet berkenaan cuba membuat pendaratan kali kedua sebelum terbakar.

Gabenor wilayah itu, Vasily Golubev berkata, cuaca buruk, angin kencang di bandar ber­kenaan dipercayai menjadi punca yang nahas tersebut.

Namun, penasihat kepada Menteri Pengangkutan Rusia, Zhanna Terekohova berkata, kesilapan juruterbang juga mungkin menjadi faktor nahas itu.

Pesawat itu mendarat dalam perimeter lapangan terbang, kira-kira 250 meter lebih rendah dari permulaan landasan.

Gambar kabur dari sebuah kamera keselamatan yang menghala ke arah lapangan terbang itu dan disiarkan televisyen Rusia menunjukkan satu letupan besar berlaku dan api menjulang ke udara.

Wakil Kementerian Kecemasan wilayah Rostov dalam satu taklimat berkata, kotak perakam penerbangan pesawat berkenaan masih belum ditemukan.

Sementara itu, Flydubai dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang cuba mengumpul maklumat secepat mungkin berhubung nahas itu.

“Ketika ini, ingatan dan doa kami adalah bersama penumpang dan anak kapal kami yang berada dalam pesawat itu.

“Kami akan cuba apa yang kami mampu untuk membantu mereka yang terjejas dengan nahas ini,” kata syarikat penerbangan itu, yang dimiliki kerajaan Dubai. – REUTERS