Ketua Jabatan Hal Ehwal Agama Turki, Prof. Dr. Mehmet Gormez berkata, berikutan sikap tidak peduli umat Islam ketika ini, Myanmar sedang meningkatkan tekanannya terhadap umat Islam di negara itu.

“Kesengsaraan umat Islam di Myanmar kurang diberi perhatian kerana umat Islam hanya me­numpukan kepada peperangan yang berlaku di Syria.

“Mereka tidak pedulikan etnik Islam Rohingya Myanmar khas­nya di negeri Rakhine. Penderi­taan yang dihadapi lebih besar,” kata Mehmet sebagaimana lapor agensi berita Anadolu.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan pertemuan dengan Ketua Kesatuan Rohingya Arakan (Rakhine), Dr. Wakar Uddin di Ankara, semalam.

Mehmet berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama dan Yayasan Agama Turki akan berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu umat Islam di Myanmar.

Jelas beliau, adalah menjadi kewajipan umat Islam di seluruh dunia untuk menghentikan penindasan ke atas etnik Ro­hingya dan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani isu itu sebagai agenda utamanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan di Maungdaw, Rakhine, penduduk mendakwa beberapa wanita dari Kampung Kyar Gaung Taung dan Kampung Myaw Taung dirogol tentera Myanmar ketika kira-kira 25 orang lelaki dari pe­nempatan itu ditahan dalam kejadian Ahad lalu.

Menurut penduduk, jenayah itu dilakukan oleh sekumpulan tentera Myanmar terdiri daripada 200 orang yang memasuki Kampung Kyar Gaung Taung pada waktu pagi pada 20 November lalu.

“Setakat yang saya tahu, kira-kira 50 wanita dirogol oleh tentera ketika 25 orang lelaki ditahan.

“Mereka masih ditahan dan askar masih belum meninggalkan kampung ini,” kata penduduk kampung ketika dihubungi Ro­hingya Blogger kira-kira pukul 4.30 petang, kelmarin.

Dalam perkembangan berasi­ngan di negeri Shan, utara Myan­mar, bank dan kedai di bandar bersempadan dengan China itu terpaksa menutup operasi sejak tengah hari semalam ekoran pe­ningkatan serangan terhadap ba­lai polis.

Ekoran pertempuran senjata sejak minggu lalu, penduduk tempatan di bandar Muse kekal berada di kediaman masing-ma­sing bagi mengelak terkena tembakan ketika beratus-ratus penduduk lain mencari perlindungan di gereja.

Sebahagian besar penduduk turut melarikan diri ke bandar berjiran dengan Jiegao yang terletak wilayah Yunnan, barat daya China susulan pertempuran antara tentera kerajaan dan tiga etnik bersenjata yang menyerang pos pemeriksaan tentera dan balai polis di bandar Muse dan Kutkai. – BERNAMA