Pertempuran yang tercetus sejak enam hari lalu selepas kumpulan militan melancarkan serangan mengejut terhadap pondok polis, telah mula reda, namun menyebabkan sekurang-kurangnya 110 maut manakala beribu-ribu terpaksa melarikan diri.

Menurut seorang penduduk kampung berdekatan bandar Maungdaw yang enggan dikenali berkata, mereka terpaksa me­larikan diri selepas tentera Myan­mar membakar rumah-rumah di situ.

“Penduduk kampung me­lari­kan diri. Di mana kami hendak tinggal sekarang?” katanya kepada AFP melalui perbualan te­lefon.

Dalam pada itu, pegawai tem­patan yang enggan identiti di­de­dahkan berkata, mayat dua wanita dan dua kanak-kanak Rohingya ditemukan di Bangladesh hari ini.

Sementara itu, menurut sumber yang diperoleh AFP, golo­ngan lelaki etnik Rohingya dilihat enggan meninggalkan Ra­khine dan mahu turut serta dalam perjua­ngan bersama kumpulan militan menentang tentera Myanmar.

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Myanmar supaya melin­dungi penduduk tempatan ketika menjalankan operasi pembersihan etnik dan menyeru Bangladesh membenarkan pelarian memasuki sempadan negara mereka.

Semalam, pegawai Myanmar berkata tentera bakal menggunakan sekatan maksimum dalam beberapa hari akan datang tetapi menegaskan adalah hak negara itu untuk melindungi diri sendiri daripada pengganas. – AFP