Thura Aung Ko turut mendakwa, Bangladesh enggan membenarkan etnik Rohingya pulang kerana bimbang populasi mereka akan merosot.

“Bangladesh mempengaruhi golongan muda Rohingya supaya bersatu dan masuk semula ke Myanmar suatu hari nanti dan matlamat utama mereka adalah untuk menduduki negara ini,” jelasnya.

Rancangan untuk menghantar pulang kira-kira 2,260 etnik Rohingya ke negeri Rakhine pada bulan lalu gagal apabila tiada seorang pun daripada mereka ingin balik ke tempat asal kerana bimbang dengan tahap keselamatan di negeri itu.

Aung Ko, bekas jeneral yang dilantik menganggotai Kabinet oleh pemimpin Myanmar, Aung San Su Kyi pada 2016, me­ngulas lanjut kenyataan yang dibuatnya berhubung isu Ro­hingya pada minggu lepas.

Pada 27 November lalu, beliau menghina Islam apabila merujuk agama yang dianuti majoriti etnik Rohingya sebagai ekstrem, selain menggelar mereka sebagai keturunan Be­ngali.

“Ketika masyarakat kami yang beragama Buddha mengamalkan monogami serta mempunyai seorang atau dua orang anak, satu ajaran agama yang ekstrem pula membenarkan pe­nganutnya berkahwin lebih daripada seorang dan melahirkan anak 15 hingga 20 orang.

“Selepas tiga hingga lima dekad lagi, penduduk Myanmar yang majoritinya beragama Buddha akan menjadi golongan minoriti di negara sendiri,” katanya yang disiarkan oleh Radio Free Asia.

Dalam pada itu, pengerusi komuniti Islam yang berpangkalan di Yangon, San Aung menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Aung Ko adalah amat menyedih­kan.

Tegasnya, sebagai seorang Menteri Agama, Aung Ko tidak sepatutnya membuat kenya­taan yang tidak bertanggungjawab dan berbaur perkauman. – REUTERS