Ditambah dengan 300,000 lagi yang telah menetap di negara ini lebih awal, jumlah keseluruhan pelarian Rohingya sudah mencecah lebih sejuta.

Menteri Muda Hal Ehwal Luar, Shahriar Alam dalam satu temu bual bersama portal berita Al-Jazeera memaklumkan, Bangladesh merupakan satu daripada negara yang memiliki jumlah penduduk paling padat di dunia, sekali gus tidak membolehkan negara ini menerima pelarian Rohingya sebagai populasi baharu.

“Kami dengan tegas percaya etnik Rohingya berasal dari Myan­mar biarpun status kerak­yatan mereka tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar. Sehubungan itu, Myanmar perlu melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah tersebut dan bukan menjadi tanggungjawab Bangladesh untuk menguruskan hal ber­kenaan,” katanya.

Selain itu, Shahriar ditanya mengenai proses penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myan­mar yang disifatkan perlahan dan tidak seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua negara sebelum ini.

Jelas beliau, hanya sejumlah kecil pelarian Rohingya sudah dibawa pulang ke Myanmar namun perkara itu tidak boleh dikatakan sebagai penghantaran semula kerana mereka ditempatkan di sebuah kawasan yang tidak berpenghuni.

Bagaimanapun Shahriar me­nyatakan terdapat tiga perkembangan berhubung isu tersebut iaitu yang pertama, Myanmar buat pertama kalinya menandatangani persetujuan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelarian (UNHCR) dan Program Pembangunan PBB (UNDP) bagi memantau proses tersebut.

“Perkembangan kedua adalah Menteri Luar, Pororashtrya Montri memaklumkan beliau sendiri menyaksikan bagaimana Myan­mar membina infrastruktur baharu di negeri Rakhine untuk menerima kepulangan pelarian Rohingya.

“Perkembangan seterusnya menunjukkan bagaimana kerajaan Myanmar menerusi pentadbiran pemimpin Aung San Suu Kyi mengunjungi kem-kem pelarian di sini untuk mende­ngar permasalahan dan keperluan mereka selepas dihantar pulang ke Rakhine,” katanya.

Dalam pada itu Shahriar menjelaskan, Bangladesh tidak akan melakukan paksaan dalam menghantar pelarian Rohingya ke Rakhine, sebaliknya negara ini ingin melakukan proses tersebut secara teliti berdasarkan garis panduan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan keperluan etnik tersebut terjamin selepas mereka dihantar pulang.

Katanya, Bangladesh berharap proses penghantaran dapat dijalankan dengan lancar, sekali gus boleh meyakinkan semua pelarian Rohingya bahawa kea­daan di Rakhine adalah selamat.

Shahriar juga ditanya me­ngenai kritikan beberapa orga­nisasi hak asasi manusia tentang rancangan kerajaan Bangladesh untuk menempatkan kira-kira 100,000 pelarian Rohingya di sebuah pulau tidak berpenghuni iaitu di Bhashan Char dengan menggunakan kos sendiri.

Menurut beliau, kawasan pe­nempatan di pulau itu bukan pusat tahanan dan kini Bangladesh dalam usaha membangunkan kawasan sekitarnya, selain menjemput kumpulan hak asasi manusia melawat tempat tersebut.

Bagaimanapun, kesemua kemudahan itu hanya melibatkan kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelarian Rohingya yang berada di negara ini.