Portal berita Burma Times melaporkan, pasukan keselamatan tersebut membuat pengumuman tersebut kepada kira-kira 200 orang di Buthidaung Town Bazar, Arakan.

Pertemuan itu berlangsung antara pukul 11 pagi hingga 1.30 petang waktu tempatan (9.30 pagi hingga 12 tengah hari waktu Malaysia).

“Rohingya bukanlah nama sebuah kumpulan orang tetapi adalah sebuah kumpulan pengganas,” kata seorang pegawai kanan polis yang merujuk kepada Pertubuhan Persaudaraan Rohingya yang diharamkan.

Beliau berkata, mana-mana individu yang bertegas untuk dikenal pasti sebagai Rohingya akan dilabelkan sebagai pengganas dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.

Tahun lalu, kebanyakan penduduk Rohingya ditahan dan beberapa lagi dikenakan hukuman penjara ketika mereka bertegas dikenali sebagai etnik Rohingya berbanding Bengali.

Seorang lagi anggota polis berkata, mana-mana individu yang mahu tinggal di negara itu perlu mematuhi undang-undang negara tersebut.

“Sesiapa yang ingin tinggal di Myanmar perlu mematuhi undang-undang negara ini,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak beberapa minggu lalu, menggesa kerajaan Myanmar memastikan hak sama rata kepada etnik berkenaan dan pengiktirafan terma Rohingya.