Cadangan itu dibuat ketika Menteri Luar Bangladesh menga­dakan perbincangan dengan pe­wakilan kanan Myanmar di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada butiran lanjut diberikan tentang ia akan dilaksanakan.

Menteri Luar Bangladesh, A.H Mahmood Ali berkata, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyelaraskan penghantaran pulang etnik Rohingya.

“Rundingan itu diadakan dalam suasana mesra dan Myan­mar telah membuat cadangan untuk menerima etnik Rohingya.

“Kedua-dua pihak bersetuju membentuk kumpulan kerja bersama untuk menyelaraskan proses penghantaran pulang,” kata menteri itu selepas bertemu Menteri Pejabat Kaunselor Myanmar, Kyaw Tint Swe di Dhaka.

Tiada tempoh masa diberikan bagi penghantaran pulang dan tidak dinyatakan sama ada ke­semua pelarian itu akan dibawa pulang.

Katanya, pelarian Rohingya akan ditentusahkan oleh kumpulan kerja bersama, dan tidak melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Bangladesh telah mencadang­kan perjanjian dua hala (de­ngan Myanmar) untuk membantu me­lak­sanakan penghantaran pulang,” katanya.

Tidak ada komen diberikan oleh pewakilan Myanmar.

Masih tidak jelas di mana pelari­an Rohingya akan tinggal jika kembali ke Myanmar selepas kebanyakan kampung mereka dibakar dalam operasi ketenteraan yang disifatkan sebagai penghapusan etnik itu.

Dalam perkembangan berlainan, PBB melaporkan lebih daripada 14,100 kanak-kanak berisiko mati akibat kekurangan zat makanan di kem-kem pelarian kerana kebergantungan penuh kepada makanan bantuan untuk kelangsung­an hidup mereka.

Menurut PBB, pengedaran makanan di kem pelarian hanya sementara dan tidak teratur.

Tambah memilukan, ada dalam kalangan mereka tidak mendapat makanan apabila bantuan tiba di kem-kem pelarian.

“Kebanyakan kanak-kanak menunjukkan tanda-tanda kebuluran dan kekurangan zat makanan,” ujar Pengarah Unit Kecemasan Kesihatan Save the Children, Dr. Unni Krishnan.

Sementara itu, kumpulan militan Mesir, Hasm mengaku bertanggungjawab dalam serangan terhadap kedutaan Myanmar di Kaherah, sambil berkata, ia adalah sebagai tindakan balas kerana berang dengan krisis Rohingya.

“Pengeboman ini merupakan amaran terhadap mereka kerana membunuh wanita dan kanak-kanak di negeri Rakhine.

“Kami memastikan tiada penduduk awam atau mereka yang tidak bersalah terlibat dalam serang­an itu,” kata Hasm dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Insiden itu hanya melibatkan serangan kecil yang mengakibatkan letupan kecil sahaja. – AFP/REUTERS