Drama ini tercetus setelah perlakuan barbaric kerajaan Myan­­mar mula mendapat perhatian du­­nia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump.

Ini kerana, selepas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Trump baru-baru ini, Washington dan Kuala Lum­pur mengeluarkan kenya­taan bersama mendesak supaya keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan.

Malah isu penindasan Rohingya merupakan antara isu yang ditekankan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-72, turut membuatkan kerajaan ­Myanmar tidak senang duduk.

Plot terbaru ini sengaja di­cip­ta kerajaan Myanmar untuk meng­halalkan jenayah genosid yang telah dan sedang dilakukan mereka terhadap etnik itu.

Sejak 1982, etnik Rohingya ditindas, makanan dicatu, hak ekonomi ditindas, hak untuk menerima pendidikan dinafikan dan tiba-tiba sahaja etnik ini dituduh sebagai pengganas.

Etnik Rohingya yang tidak mampu mempertahankan diri, dibunuh serta diusir dari Rakhine kini didakwa mempunyai senjata api dan mengancam keselamatan tentera Myanmar.

Bijak sekali permainan psikologi yang sedang ditunjukkan oleh kerajaan Myanmar untuk memastikan sokongan negara lain berpihak kepada mereka.

Bagi Pengarah Eksekutif Pusat Rohingya ASEAN (ARC), Dr. Helmi Ibrahim, hanya ada satu sahaja cara untuk membuktikan dakwaan terhadap etnik Ro­hing­ya iaitu membenarkan pasukan pemerhati sama ada daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau mana-mana organisasi antarabangsa memasuki Rakhine.

Helmi memberitahu, tuduhan yang kenakan oleh kerajaan Myanmar itu terlalu berat dan masyarakat dunia perlu dikemukakan bukti sama ada ia benar-benar berlaku atau sebuah lagi pembohongan oleh Myanmar.

Persoalannya sekarang, beranikah kerajaan Myanmar membuka pintu kepada pemerhati asing untuk menyiasat dakwaan berkenaan?