Di sebalik penafian yang dibuat, kumpulan pemerhati berkata, imej satelit yang disiarkan hari ini, menunjukkan tentera kerajaan telah membakar lebih 1,000 penempatan etnik tersebut sebelum ini dan pembakaran itu adalah disengajakan.

Ketika ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, lebih 30,000 penduduk Rohingya telah kehilangan tempat tinggal mereka manakala berpuluh-puluh lagi terbunuh selepas diserang tentera Myanmar.

Rohingya

Media tempatan negara itu pula melaporkan, lebih 400 orang turut ditahan selepas beberapa buah per­kampungan Rohingya dikepung tentera itu sejak enam minggu lalu.

Sementara itu, rohingyablogger.com melaporkan, kerajaan Myanmar kini merancang untuk melatih dan membekalkan senjata kepada penduduk bukan Islam di negara itu.

Tindakan tersebut diambil sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku pemberontakan khususnya dalam kalangan penduduk Rohingya selepas ini.

“Menubuhkan sebuah pasukan bersenjata yang tidak terlatih hanya disebabkan satu komuniti sahaja (Rohingya) di tengah-tengah ketegangan dan keganasan adalah permulaan kepada satu bencana yang besar,” kata Pengarah Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ), Sam Zarifi.

Rohingya

Dalam perkembangan lain, China dilaporkan telah mengarahkan tenteranya supaya berwaspada selepas tiga kumpulan lelaki bersenjata di Myanmar menyerang pos kawalan tentera dan polisnya di sempadan kedua-dua buah negara setelah turut memberikan perlindungan kepada sebilangan penduduk yang melarikan daripada pertempuran yang berlaku.

Agensi berita Xinhua melaporkan, serangan itu dilakukan secara serentak di pekan Muse dan Kutkai, timur laut Myanmar awal hari ini.

Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman webnya turut meminta agar langkah keselamatan diperketatkan eko­ran insiden tersebut. – AFP/REUTER/AGENSI