Kombinasi gambar memaparkan sebahagian pendatang asing Rohingya sebelum di selamatkan (gambar atas) dan selepas mereka diselamatkan (gambar bawah) oleh kerajaan Indonesia dan ditempatkan di Banda Aceh, baru-baru ini. AFP

Satu kenyataan yang dikeluarkan pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Bangkok itu dan dihadiri 17 negara itu turut menggesa negara-negara terbabit supaya mencari punca utama yang menyebabkan berlakunya masalah pendatang asing termasuk `mempromosi budaya menghormati hak asasi manusia’.

Myanmar bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan pada mesyuarat tersebut,” kata Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thailand.

Nada itu berbeza berbanding semasa pembukaan mesyuarat khas tersebut apabila Myanmar mengambil pendirian `lepas tangan’ dengan enggan bertanggungjawab di atas masalah yang berlaku terhadap pendatang asing etnik Rohingya terbabit.

Malahan Yangon membidas kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa Yangon bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu itu.

Timbalan Pesuruhjaya PBB bagi Pelarian (UNHCR), Volker Turk semasa berucap pada pembukaan mesyuarat itu menggesa Myanmar mengatasi masalah kebanjiran pelarian etnik Islam Rohingya sejak beberapa tahun lalu ekoran keganasan di barat negara tersebut.

Jelas Turk, kerajaan Myanmar perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap rakyatnya, termasuk etnik Rohingya supaya isu terbabit diselesaikan di peringkat akar umbi.

“Jalan penyelesaian paling terbaik adalah memberi kerakyatan penuh kepada etnik Rohingya,” kata beliau.

Bagaimanapun, delegasi Myanmar yang diketuai Ketua Pengarah Kementerian Luar, Htin Lynn membalas kritikan Turk apabila mendakwa isu pendatang tanpa izin dan orang hanyut tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kepada Yangon.

Malah Lyyn turut menyifatkan kenyataan Turk sebagai bermotifkan politik dan sesetengah isu merupakan hal ehwal dalaman negara.

Myanmar secara konsisten menafikan hak kerakyatan kira-kira 1.3 etnik Rohingya dan tidak mahu menerima masyarakat itu sebagai etnik minoriti selain menggelar mereka sebagai Bengali, merujuk kepada rakyat Bangladesh.

Krisis orang hanyut mula tercetus pada awal bulan ini apabila pihak berkuasa Thailand melancarkan operasi besar-besaran terhadap sindiket pemerdagangan manusia ekoran penemuan kubur besar mangsa sindiket tersebut di selatan negara ini.

Situasi berkenaan berlarutan apabila beberapa negara Asia Tenggara enggan menerima kehadiran orang hanyut di negara masing-masing, sekali gus mengundang tekanan dari seluruh dunia yang mahu isu tersebut ditamatkan.

Namun, pertemuan selama sehari yang tidak dihadiri oleh pegawai peringkat kementerian, dijangka tidak dapat mencapai keputusan terbaik bagi menyelesaikan isu orang hanyut yang telah berlanjutan sejak beberapa tahun lalu di rantau Asia Tenggara. – AFP