“Kami bersedia menerima me­reka semula sejurus Bangladesh menghantar memorandum itu kem­bali kepada kami,” kata Setia­usaha Tetap Kementerian Buruh, Imigrasi dan Populasi Myanmar, Myint Kyaing.

Sementara itu Amerika Syarikat (AS) mengenakan larangan perjalanan sementara kepada pe­gawainya ke Rakhine hari ini berikutan kebimbangan tercetusnya protes selepas Setiausaha Negara, Rex Tillerson menuduh Myanmar menjalankan penghapusan etnik.

Rabu lalu, Tillerson dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, keadaan di Rakhine me­rupakan penghapusan etnik ter­hadap masyarakat Islam Ro­hingya.

“AS juga akan meneruskan tanggungjawab melalui undang-undang, termasuk kemungkinan sekatan bakal dikenakan terhadap mereka yang terbabit,” kata Tillerson.

AS bakal meningkatkan tekanan terhadap pemimpin tentera dan tentera Myanmar, yang berkongsi kuasa sejak dua tahun lalu.

Badan pemantau hak asasi manusia mengecam kekejaman Myan­mar, termasuk pembunuhan, rogol dan membakar kediaman Ro­hingya ketika operasi penghapusan etnik sejak Ogos lalu.

Lebih daripada 600,000 Rohingya Islam telah melarikan diri dari Rakhine ke Bangladesh sejak kon­flik tersebut.

“Kekejaman tentera Myanmar, pasukan keselamatan dan pengawal tempatan telah menyebabkan penderitaan dan memaksa ratusan ribu orang meninggalkan kediamaan mereka,” kata Tillerson. – REUTERS