Bagaimanapun, ju­ru­cakap Badan Pemenangan Na­sional (BPN) Prabowo-Sandiaga Uno, Andre Rosiade tidak mengetahui waktu sebenar kehadiran Prabowo di mahkamah yang terletak berhampiran Monumen Nasional (Monas) yang sering menjadi lokasi tunjuk perasaan serta demonstrasi jalanan.

Menjelang esok yang dijangka dipenuhi penyokong Prabowo, Tentera Nasional Indonesia (TNI) bertindak menempatkan lebih 60,000 anggotanya untuk me­ngawal keselamatan, selepas Presiden Joko Widodo atau Jokowi ‘berikrar’ tidak akan berkompromi terhadap pihak yang mengganggu keamanan negara terutama perusuh.

Sehingga kini, jurucakap polis Indonesia, Dedi Prasetyo berkata, seramai 300 orang suspek ditahan dan disoal siasat susulan rusuhan di beberapa lokasi di sini yang bertukar ganas.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya kumpulan perusuh yang menyebarkan provokasi itu datang dari luar Jakarta.

Rusuhan tercetus selepas Prabowo mendakwa wujud pe­nipuan dalam pemilihan umum (Pemilu) dan menggesa pengundi mengadakan rapat umum.

Selasa lalu, Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan Jokowi memenangi Pilpres, untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi tempoh 2019-2024.

Keputusan itu bagaimanapun diumumkan sehari lebih awal, selepas proses pengiraan undi di 813,350 tempat pembuangan suara atau pusat pengundian, selesai 11.30 malam, Isnin.

Pun begitu, Prabowo masih mempunyai tempoh sehingga esok untuk mencabar keputusan itu di Mahkamah Perlembagaan dan sekiranya tiada bantahan, pengumuman tersebut dianggap sah dengan Jokowi menjadi Presiden negara.

Detik News melaporkan, dalam rusuhan itu, sekurang-kurangnya lapan termasuk seorang pelajar berusia 17 tahun terbunuh manakala ratusan lagi cedera apabila penunjuk perasaan yang merupakan penyokong kepada calon Presiden nombor dua itu bertukar ganas sehingga membakar asrama dan kendera­an polis.

Antara lokasi yang menjadi sasaran penunjuk perasaan yang dinamakan Gerakan Nasional Kedaulatan Rakyat atau Protes 22 Mei adalah di Jalan MH Thamrin, Jalan Jati­negara hingga ke kawasan Tanah Abang.

Selain itu, Protes 22 Mei dilapor merebak ke Pontianak yang menyaksikan penunjuk perasaan membakar tayar dan pondok polis dan kekecohan turut dilapor berlaku di Medan, Sumatera Utara.

Dedi menambah, polis sebelum ini menemukan bukti berupa kenderaan, wang dalam bentuk rupiah dan dolar, senjata tajam, ‘molotov cocktail’, alat komunikasi, kamera dan mercun pelbagai saiz yang dikaitkan dengan kumpulan perusuh.

Jelasnya, dengan penemuan tersebut, semakin menguatkan dakwaan rusuhan telah dirancang.

“Majoriti yang menyertai rusuhan adalah remaja, sebahagian besar daripada mereka tidak memiliki pekerjaan,” katanya. – AFP/AGENSI