Menurut portal berita BBC, selain saiz yang sangat kecil, rangka yang sempurna sifatnya itu mempunyai beberapa ciri fizikal luar biasa, seperti memiliki hanya 10 tulang rusuk, soket mata yang besar dan kepala berbentuk kon.

Pakar Mikrobiologi dan Imunologi Pusat Pengajian Perubatan Stanford University California, Profesor Garry Nolan berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mumia dipanggil Ata itu mengesahkan ia adalah bayi perempuan dari keturunan penduduk tempatan di bandar La Noria.

Para penyelidik turut mengenal pasti bahawa Ata adalah bayi baru lahir dengan pelbagai mutasi gen yang dikaitkan dengan masalah kerdil, scoliosis serta kelainan pada otot dan rangka.

Mutasi gen berkaitan perkembangan tulang itu juga dipercayai menjadi punca bentuk pelik dan gangguan keturunan pada rangka itu yang tidak pernah direkodkan pada manusia sebelum ini.

Data lengkap kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal Genome Research itu sekali gus menjawab misteri mengenai asal-usul mumia tersebut serta dakwaan beberapa pihak bahawa ia adalah rangka makhluk asing.

“Apa yang menarik dan menyebabkan kita membuat spekulasi awal adalah kerana terdapat sesuatu yang pelik mengenai kematangan tulang itu dari segi ketumpatan dan bentuknya.

“Terdapat pematangan tulang yang seimbang men­jadikan tubuh kelihatan lebih matang walaupun pada hakikatnya spesimen itu sendiri kecil. Keanehan ini menyebabkan banyak penyelidikan dan kami percaya ia berpunca dari satu atau lebih mutasi gen,” jelas Nolan.

Pakar Genetik University of Santiago de Compostela Sepanyol, Anto­nio Salas Ellacuriaga me­­nyebutnya sebagai contoh yang sangat unik tentang bagaimana data genom dapat membantu melenyapkan dilema antropologi dan arkeo­logi.