BBC melaporkan, Mujica pada Selasa lalu meletakkan jawatan senator yang disandangnya sejak 2015 selepas penggal lima tahun sebagai presiden berakhir.

Mujica berkata, beliau tidak dapat menghabiskan penggal perkhidmatannya sehingga 2020 kerana ‘penat selepas tempoh yang lama.

Bekas pemberontak berhaluan kiri itu kini berusia 83 tahun.

Bekas presiden itu menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Ketua Senat, Lucía Topolansky, yang juga Naib Presiden Uruguay dan isterinya.

Dalam suratnya itu, beliau berkata motif mengundurkan diri adalah atas sebab peribadi iaitu ‘letih selepas melalui tempoh yang panjang’.

“Bagaimanapun saya sentiasa berfikir, saya tidak boleh berhenti daripada memperjuangkan perpaduan dan idea,” katanya.

Mujica, yang terkenal dengan bahasanya yang berterus-terang dan kadangkala berbunga-bu­nga, juga memohon maaf kepada ‘mana-mana rakan sekerja yang terasa hati semasa berdebat’.

Beliau sebelum ini enggan tinggal di istana presiden dan sehingga kini tinggal di ladang bunga di pinggir Montevideo bersama isterinya.

Beliau menyumbangkan sebahagian besar gajinya sebagai presiden untuk kebajikan dan satu-satunya kepunyaan beliau ketika memegang jawatan pada 2010 ialah kereta Volkswagen Beetle keluaran 1987.