Menurut portal berita BBC, tunjuk perasaan itu juga dilihat menjadi perhimpunan menyokong tindakan tentera 'mengambil alih kuasa' kerajaan pada hari Rabu lalu.

Penyokong parti pemerintah Zanu-PF dan bekas tentera turut menyertai tunjuk perhimpunan berkenaan.

Cawangan serantau parti Zanu-PF dan veteran perang yang sebelum ini setia kepada Mugabe turut menggesa beliau berundur.

Ketua persatuan veteran perang paling berpengaruh di Zimbabwe, Christopher Mutsvang­wa sejak awal minggu ini menyeru orang ramai hadir ke perhimpunan tersebut.

“Kami mahu memulihkan negara kebanggaan kami dan kami akan menyelesaikan tugas yang dimulakan oleh tentera. Tidak ada yang akan kembali kepada Mugabe, dia mesti pergi,” kata­nya.

Semalam, sekurang-kurang­nya lapan daripada 10 buah cawangan serantau parti Zanu-PF mengundi supaya Mugabe meletakkan jawatan sebagai Presiden dan Setiausaha parti.

Sementara itu, beberapa pe­mim­pin serantau turut muncul di stesen televisyen meminta Grace meletak jawatan dari parti itu, dan memberi laluan kepada bekas Timbalan Presiden, Emmerson Mnangagwa menyertai semula jawatankuasa pusat parti.

Mugabe, 93, dikenakan tahanan rumah selama beberapa hari, tetapi beliau muncul buat kali pertama di khalayak umum apabila menghadiri konvokesyen sebuah Universiti Terbuka Zimbabwe di ibu negara semalam.

Mugabe selaku canselor universiti berkenaan merasmikan majlis tersebut dan salah seorang daripada graduan yang dianuge­rahkan ijazah oleh beliau adalah Marry Chiwenga, isteri je­neral yang menahannya pada Rabu lalu.

Isterinya, Grace Mugabe tidak ha­dir bersama dan dikatakan berada di rumah mereka.